PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah berkata bapanya merupakan individu yang paling layak menjadi simbolik kepada single terbaharunya berjudul Lelaki Teragung dalam kehidupan dia buat masa ini. Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 36, berkata, dia meletakkan bapanya sebagai inspirasi dalam menghayati lagu tersebut ketika sesi rakaman dilakukan. "Secara jujurnya, pertama kali diberikan lirik dan tajuk lagu ini, saya sendiri mempersoalkannya kerana bagi saya lelaki teragung itu sangat besar maksudnya, namun apabila dijelaskan sendiri oleh penulis liriknya, barulah saya rela untuk menyanyikan sepenuh jiwa. "Walaupun ia menceritakan mengenai pasangan kekasih, tetapi saya memilih untuk membayangkan ayah saya sendiri untuk mendalami dan menyampaikan lagu ini dengan baik," ujarnya. Dayang balik beraya di Sarawak. Lelaki Teragung merupakan ciptaan oleh komposer baharu Natasya dan lirik ditulis oleh Iman Imran. Selain itu, Dayang berkata dia kini sibuk mengumpul metarial untuk album ke 11 yang bakal memuatkan 10 buah lagu. Dia tidak mahu terburu-buru untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti khas buat peminat-peminatnya. Tambah Dayang dia tidak mahu menghasilkan produk istimewa itu sekadar melepaskan batuk di tangga. "Sudah setahun proses menghasilkan album ini, biar lambat asalkan dapat memberikan yang terbaik, kalau boleh setiap lagu dapat menjadi single hit dan bukan sekadar tangkap muat," ujarnya. Sementara itu, bercerita tentang Hari Raya Aidilfitri, Dayang bakal pulang beraya di kampung halamannya di Kuching Sarawak selama sebulan. Penyanyi ini berkata, raya merupakan masa terbaik untuk dia meluangkan masa bersama keluarga dan sanak saudara yang jarang ditemui. "Saya jarang balik, jadi bila ada peluang pada Hari Raya saya akan habiskan masa lama dengan keluarga. "Kebiasaanya pada Hari Raya pertama saya paling awal menyiapkan makanan keluarga dan bila mereka bangun semuanya sudah terhidang atas meja," ujarnya.