suria

Kek Keju Pendapatan Syawal Faye Kusairi

Faye Kusairi
PETALING JAYA: Pelakon Faye Kusairi memberitahu setiap kali menjelang Aidilfitri dia akan menjual kek kegemarannya iaitu kek keju kepada rakan-rakan terdekat.

Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 29, berkata, aktiviti itu sudah dilakukan sejak zaman persekolahan lagi bagi mencari duit tambahan sempena Hari raya.

"Setiap kali raya pasti saya akan buat cheese cake untuk dijual kepada rakan-rakan, ia menjadi satu perkara yang menyeronokkan bila orang suka kek yang kita sendiri buat.

"Sejak daripada zaman sekolah lagi saya sudah buat kek ini dan sambutan sangat baik, tahun lepas sahaja saya mampu mendapat keuntungan RM4,000 jual kek sahaja," ujarnya.

Tambah Faye, dia mampu menghasilkan sebanyak lapan buah kek sehari dalam memenuhi tempahan.

Faye buat rumah terbuka setiap kali Hari Raya.

Sementara itu, Faye berkata, dia yang bakal beraya di Kuala Lumpur akan mengadakan rumah terbuka kepada sanak-saudara dan peminat.

"Tahun lalu rumah terbuka saya selama 10 hari ia adalah tahun pertama saya menjadi artis dan ramai saudara-mara yang ingin melihat saya sendiri.

"Tahun ini tidak tahu lagi berapa lama, tapi kami memang merancang untuk biat rumah terbuka khas buat sanak saudara yantg ingin datang menziarahi," ujarnya.

Dalam pada itu, Faye yang berasal daripada Sarawak memberitahu dia sudah empat tahun tidak balik beraya di kampung halamannya.

Ia berikutan kesemua ahli keluarganya sudah berpindah ke Kuala Lumpur.

"Sejak ayah saya bersara kami sekeluarga sudah berpindah ke Kuala Lumpur dan saudara mara kami juga ramai di sini.

"Ada nenek sebelah bapa sahaja yang tinggal di sana, tapi dia juga akan datang beraya di Kuala Lumpur kerana anak-anaknya semua di sini," ujarnya.

Faye Kusairi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain