suria

Juara 'Pilih Kasih 3', Reen Rahim Pernah Hilang Minat Berlakon

Reen Rahim mengakui karier seninya semakin mendapat perhatian dan ia adalah hasil sokongan peminatnya, Reenizers. Foto Ihsan Instagram @reenrahim

PETALING JAYA: Pelakon Reen Rahim mendedahkan dia pernah bersikap sambil lewa terhadap karier seni ekoran namanya kurang menyerlah berbanding beberapa rakan seangkatannya.

Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim, 28, berkata, dia hilang motivasi untuk meneruskan kerjayanya itu walaupun mempunyai kelebihan menyandang gelaran juara program Pilih Kasih 3 pada 2012.

"Saya bukan kecewa cuma hilang motivasi kerana saya sedar tidak mudah untuk menempa nama membuatkan saya bersikap sambil lewa.

"Kelebihan sebagai juara tidak pernah memberi kelebihan kepada saya malah pada awal kemunculan saya saya dikritik hebat malah ada yang terkejut saya bergelar juara Pilih Kasih," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Reen, dia berubah dan menyedari perlu membuang sikap negatifnya itu kerana sokongan dan kepercayaan peminat yang digelarnya sebagai Reenizers.

Jelasnya, jika tidak kerana mereka, karier seninya sudah lama terkubur dan kata-kata semangat diberikan mereka terhadapnya membuatkan dia berada di tahap hari ini.

"Jujur saya katakan pada awalnya saya tidak faham dengan tujuan penubuhan kelab peminat tambahan pula tidak pernah merasakan ada orang menyukai saya.

"Tetapi hari ini kerana mereka saya berasa bertanggungjawab untuk memberikan terbaik dalam setiap lakonan saya kerana tidak mahu mengecewakan mereka.

"Hikmahnya juga lakonan saya bertambah baik dan kehadiran saya mula disedari oleh penerbit dan pengarah," jelasnya.

Sementara itu, Reen berkata, dua tahun kebelakangan ini dia melihat karier lakonannya berkembang pesat dengan pelbagai tawaran.

Malah dia kini berpeluang bekerjasama dengan pengarah terkenal seperti Kabir Bhatia selain mula mendapat perhatian daripada stesen televisyen swasta.

"Saya ambil masa yang lama untuk mula mendapat perhatian malah pernah hilang motivasi tetapi apa yang berlaku sebelum ini mempunyai hikmah besar.

"Alhamdulillah rezeki semakin baik dan masih banyak benda yang perlu saya pelajari," katanya.

Dalam perkembangan lain, Reen berkata, dia bakal muncul menerusi dua drama bersiri di TV3 iaitu Sayangku Kapten Mukhriz dan Abang Sado Boleh Settle.

Manakala dua buah filem lakonannya iaitu Mawar Putih dan Soul Mate bakal berada di pawagam dalam masa terdekat ini.

Reen juga bakal memasuki lokasi penggambaran filem terbaharunya berjudul KL Vampire.

Reen Rahim, Pilih Kasih

Artikel Lain