suria

Yuna Tak Sangka Diiktiraf Artis Malaysia Paling Berjaya

Yuna mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records apabila album terbaharunya berjaya menembusi carta Billboard menerusi kategori Album R&B. Foto ROHAIZAD DARUS

KUALA LUMPUR: Penyanyi Yuna tidak menyangka The Malaysia Book of Records mengikuti perkembangan karier seninya di Amerika Syarikat sehingga badan penilai itu mengiktiraf album terbaharunya berjudul Chapters yang dilancarkan pada Mei lalu.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 30, berkata, pengiktirafan itu diberikan kepadanya sebagai artis Malaysia pertama yang berjaya menembusi kedudukan 10 teratas dalam carta Billboard menerusi kategori Album R&B.

Untuk rekod, antara artis lain yang turut tersenarai dalam carta sama ialah Beyonce (Lemonade), Rihanna (Anti) dan The Weeknd (Beauty Behind The Madness).

"Saya langsung tidak menyangka akan diberi pengiktirafan besar seperti ini kerana ingatkan ia satu gurauan pada awalnya.

Yuna dan Usher ketika merakamkan lagu Crush.

"Meskipun saya jauh di perantauan masih ada yang mengambil berat dan pengiktirafan ini adalah semangat untuk saya meneruskan perjalanan karier di Amerika," katanya kepada mStar Online.

Yuna ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Mitsubishi yang diadakan di Bangsar di sini, Selasa.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Crush itu juga adalah duta model ASX jenama kenderaan itu.

The Malaysia Book of Records menerusi Pengarah Operasinya, Christopher Hw Wong menyampaikan plak pengiktirafan itu pada sebuah majlis yang diadakan pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Yuna berkata, dia bersyukur penerimaan album terbaharunya cukup baik oleh peminat malah duet bersama bintang R&B, Usher membuka ruang lebih besar untuknya dikenali di Amerika Syarikat.

Malah kata Yuna, dia bakal memulakan konsert jelajah siri kedua di beberapa buah negeri selatan Amerika selain Eropah bermula September ini bagi mempromosikan album berkenaan.

Yuna turut dilantik sebagai duta kereta jenama Mitsubishi.

"Duet bersama Usher banyak membuka peluang lebih besar untuk saya dan syukur lagu duet kami sering diputarkan di stesen radio di Amerika.

"Ia satu pencapaian membanggakan untuk saya apabila dapat mendengar lagu sendiri diputarkan di radio.

"Insya-Allah saya akan teruskan konsert jelajah di Amerika selain bakal ke Eropah pada September untuk persembahan di London, Paris, Berlin dan Belanda," ujarnya.

Tambah Yuna, dia ada merancang untuk mengadakan konsert di Asia namun ia masih di peringkat perbincangan bersama syarikat pengurusannya namun berharap ia akan menjadi kenyataan.

"Masalah untuk mengadakan konsert di Asia adalah ia melibatkan kos yang tinggi kerana Asia terlalu jauh dari Amerika.

"Insya-Allah jika ada rezeki suatu hari nanti perancangan itu pasti akan terlaksana," ujarnya.

Artikel Lain