suria

Ezad Lazim Cuba Dua Rawatan Ubati Penyakit Usus

Ezad Lazim

PETALING JAYA: Penyanyi Ezad Lazim memberitahu dia mencuba pelbagai kaedah iaitu perubatan moden dan tradisional bagi mengubati penyakit muntah luar biasa yang dialaminya sepanjang Ramadan lalu.

Ezad atau nama sebenarnya  Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 37, berkata, biarpun diberitahu oleh doktor bahawa dia menghadapi masalah usus, namun dia masih berikhtiar mendapatkan perkhidmatan di pusat perubatan tradisional.

"Alhadmulillah kesihatan saya semakin baik dan saya sudah tidak muntah-muntah lagi, cuma perut masih belum boleh menerima makanan keras dan pedas-pedas.

"Menurut doktor saya ada masalah pada usus akibat kesan ubat-ubatan sinus dan ia menjadi parah apabila saya lambat mendapatkan rawatan.

"Tapi saya juga ada berikhtiar untuk berubat secara tradisional sebab kita tidak nafikan mungkin juga kalau terkena perkara-perkara ghaib," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Ezad dihubungi untuk mengetahui perkembangan kesihatannya selepas dimasukkan ke Kedah Medical Centre (Pusat Perubatan Kedah) pada 30 Jun lalu selepas muntah lebih 30 kali sehari.

Ezad bersama isteri dan anak keduanya Putera Muhamad Darwish.

Penyanyi lagu Hati Mati itu ditahan selama dua hari di pusat perubatan berkenaan.

"Kami ikhtiar sahaja yang terbaik, nak kata saya kena buatan orang itu tak boleh nak cakaplah, sebab kalau kita pergi berubat ada sahaja yang diberitahu.

"Terpulang ingin percaya atau tidak, cuma saya lebih suka ambil positif sahaja apa yang terjadi. Mungkin juga Allah ingin menguji saya," ujarnya.

Sementara itu, Ezad berkata, perasaan bimbang dan susah hati ketika dalam keadaan sakit itu turut menyumbang kepada keadaan kesihatannya menjadi lebih buruk.

Katanya, dia sentiasa memikirkan tentang kematian dan kerja-kerja yang tidak dapat diselesaikan sepanjang jatuh sakit itu.

"Saya susah hati ketika jatuh sakit itu banyak perkara yang tidak dapat berjalan lancar seperti perniagaan baju dan jubah kami.

"Saya tidak boleh bagi tumpuan dan beberapa persembahan terpaksa dibatalkan kerana saya tidak sihat.

"Dalam hati juga saya terfikir tentang sudah sampai masanya nak mati," ujarnya.

Dalam pada itu, Ezad berkata, dia berkesempatan menganjurkan majlis akikah anak keduanya Putera Muhamad Darwish dan majlis kesyukuran pada Isnin lalu di kediaman keluarganya di Alor Setar, Kedah.

"Alhamdulillah, majlis akikah memang kami sudah rancang lama dan saya buat sekali majlis kesyukuran untuk saya selepas beransur sihat ini.

"Banyak hikmah saya dapat selemat mengalami penyakit tersebut salah satunya ialah menghargai kenikmatan ketika diberi kesihatan yang baik," ujarnya.

Ezad Lazim

Artikel Lain