PETALING JAYA: Pelakon Azwan Kombos memberitahu dia sukar untuk menggambarkan perasaannya yang bercampur baur sejak seminggu lalu sebelum bergelar suami kepada pelakon Ezzaty Abdullah pada Sabtu ini. Azwan, 31, berkata, dia tiada selera untuk makan dan sukar tidur apabila memikirkan tentang status dan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga tidak lama lagi. "Macam-macam perasaan bila fikir tentang itu dan saya rasa seperti tidak percaya pula bakal bergelar suami. "Walaupun banyak kali berkahwin dalam lakonan tapi perasaan berbeza bila kita mengalaminya sendiri. "Sudah seminggu ini saya tiada selera makan dan sukar untuk tidur kerana terlalu banyak yang difikirkan," ujarnya kepada mStar Online. Azwan Kombos akui debaran bergelar suami. Pasangan ini akan diijabkabul di kediaman keluarga pengantin wanita di Bentong, Pahang pada Sabtu ini kira-kira pukul 10 pagi. Manakala, majlis resepsi sebelah lelaki pula akan berlangsung sehari kemudian iaitu 17 Julai 2016, di Dewan Melor, Bandar Baru Bangi dekat sini. Azwan berkata, dia akan menggayakan pakaian Arief Shah untuk majlis pernikahan dan Wan Huzairil bagi majlis resepsi mereka. Manakala pelamin ditaja oleh Wedding by Emma. Sementara itu, pelakon Nasi Tanggas ini memberitahu hampir tiga minggu dia tidak bertemu dengan bakal isterinya berikutan menjalani penggambaran di kampung halamannya Sabah. Dalam masa tersebut juga dia mengambil peluang untuk menghabiskan masa sebagai seorang bujang bersama ibunya sebelum mendirikan rumah tangga. "Sudah sebulan kami tidak jumpa sebenarnya semalam sahaja dia ada ambil saya di lapangan terbang ketika pulang dari kampung di Kota Belud, Sabah. "Saya ada penggambaran di Sabah dan terus balik kampung beraya, kalau boleh memang kami kurangkan untuk berjumpa pada hari-hari yang semakin dekat ini," ujarnya.