suria

Azwan Kombos & Ezzaty Abdullah Bergelar Suami-Isteri Dengan Sekali Lafaz

Azwan dan Ezzaty Abdullah selamat diijab kabul pagi Sabtu di Bentong, Pahang. Foto Ihsan KAKI5FOTO

BENTONG: Pasangan pelakon Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah sah bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan kira-kira pukul 11.30 pagi, Sabtu.

Majlis pernikahan berkenaan diadakan di kediaman pengantin perempuan di sini yang dihadiri oleh keluarga kedua-dua pihak dan rakan terdekat pasangan berkenaan.

Antara rakan artis yang turut hadir memeriahkan acara adalah Reen Rahim, Daler Yusof dan Hafreez Adam.

Pasangan berkenaan yang menggayakan busana daripada Arief Shah dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Abdullah Mat Isa dan disaksikan oleh Jurunikah Daerah Bentong, Mohd Rasmawi Harun.

Azwan dan Ezzaty bersyukur mereka selamat disatukan sebagai suami isteri.

Azwan atau nama sebenarnya Mohd Al Azwan Kombos, 31, menyerahkan mas kahwin berjumlah RM22.50 kepada Ezzaty manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Pengantin perempuan turut menerima lima dulang hantaran dan dibalas dengan tujuh dulang kepada pihak lelaki.

Terdahulu Azwan dan Ezzaty, 26, mengadakan majlis pertunangan sebelum akad nikah berlangsung pada hari sama.

Sementara itu, Azwan yang ketika ditemui melahirkan rasa syukur majlis yang dirancang berjalan dengan lancar walaupun perasaannya gugup ketika bakal dinikahkan oleh bapa mertuanya.

Ezzaty mencium tangan suaminya.

Kata Azwan, sebagaimana pasangan lain dia berharap semua peminat mendoakan kebahagian mereka sehingga ke akhir hayat.

"Alhamdulillah perasaan gugup dan tidak boleh tidur lena sebelum ini hilang selepas kami diijab kabulkan.

"Tiada apa yang saya minta kecuali semua mendoakan kesejahteraan rumah tangga kami berdua," katanya.

Dalam pada itu, resepsi pasangan mempelai akan berlangsung pada malam Ahad di Dewan Melor, Bandar Baru Bangi, Selangor. 

Azwan Kombos, Ezzaty Abdullah

Artikel Lain