PETALING JAYA: Filem arahan dan terbitan anak tempatan iaitu Green Love yang menggabungkan pelakon terkemuka dari Hong Kong, China dan Malaysia dijangka dapat mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Penerbitnya, Andy Lee yang berkecimpung dalam dunia perfileman sejak 2003 berkata naskah berkenaan bukan sahaja mengangkat kisah cinta sebaliknya membawa mesej percintaan terhadap keluarga dan alam sekitar. "Saya orang Malaysia sebab itu saya pilih pengambaran di Malaysia kerana yakin Green Love dapat membawa nama negara ke setiap pelusuk dunia kerana ia menonjolkan mesej percintaan dalam pelbagai dimensi termasuk keluarga dan alam sekitar. "Ini satu yang mudah tetapi kita sentiasa mengabaikannya akibat pemikiran materialistik dan mahu audien mengalami elemen asas apa dia cinta," katanya ketika ditemui di lokasi pengambaran di Ma Ni Villa, Ulu Bernam dekat sini, baru-baru ini. Menurut Andy filem cinta itu bakal menemui penonton pada bulan Mac atau April tahun hadapan dan akan ditayangkan di beberapa buah negara. Tambahnya, filem ini juga dijangka akan ditayangkan di Amerika Syarikat memandangkan ia menggunakan dwi bahasa iaitu Kantonis dan Inggeris. "Dalam menerbitkan filem-filem yang baik, kami bekerjasama dengan pihak-pihak di Singapura and Thailand dan ini juga membolehkan kami meluaskan audien kami selain di Malaysia," katanya. Sementara itu, Andy yang juga penerbit filemThe 3rd Generation pernah mendapat anugerah Rekaan Baju Terbaik, Sinematografi Terbaik, dan Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke 19, turut meluahkan rasa terima kasih dan menganggap beliau bertuah apabila filemnya ini turut mendapat kerjasama dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Selain membantu daripada segi pencarian lokasi penggambaran, FINAS turut menyumbang dana sebanyak RM1.2 juta untuk Andy menerbitkan filem sulungnya yang bergenre percintaan. "Filem diarah C.L Hor, seorang pengarah berbakat dan kami telah bekerja bersama-sama lebih 10 tahun. "Sebelum ini kami membuat filem aksi, seni, 'super power' tetapi ini filem pertama kami akan cinta dan kami gembira kerana Finas membantu kami," katanya. Dalam perkembangan sama, Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib menyifatkan filem ini mempunyai banyak kelebihan dan yang pastinya salah satu kelebihan dan keistimewaannya ialah ia mampu menarik pelancong asing ke Malaysia. "Kehadiran pelakon terkenal Hong Kong seperti Wu Fung, Rossane Lui, Edward Chui dan Lisa Ch'ng adalah satu kelebihan selain filem ini memaparkan 100 peratus penggambaran di lokasi-lokasi menarik dalam Malaysia. "Jadi apabila ditayangkan nanti di serata dunia terutamanya di Hong Kong dan Malaysia sudah pasti ia dapat menarik ramai pelancong ke negara kita. "Finas membantu menyumbangkan dana sebanyak RM1.2 juta salah satunya disebabkan kenegaraan dan ia dapat memupuk semangat berbilang kaum serta apabila filem ini 'box office' sudah pasti menarik pelancong asing ke negara kita, antara lokasi penggambaran adalah di Bukit Fraser, Pahang, Sungai Klah Hotspring, Perak, Ma Ni Villa, Selangor dan di Putrajaya," katanya. Dalam pada itu, Mohd Khusairi juga menyarankan penerbit-penerbit Melayu dapat mencontohi usaha dan cara yang dilakukan Andy bagi meluaskan lagi pasaran filemnya. Penerbit filem Melayu yang ada pada masa ini ramai yang berbakat dan sudah masanya hasil karya mereka dijual di luar negara selain Indonesia. "Produser Melayu digalak mencari lebih banyak lagi rakan penerbit dari negara lain bagi membolehkan filem kita dipasarkan di negara lain seperti yang dilakukan Andy. "Belum lagi habis penggambaran dan dibuat sebarang promosi, namun sudah ada pihak dari Amerika Syarikat contohnya yang sudah menawarkan untuk membeli filem ini. "Seperti Syamsul Yusof yang bagi saya filem Munafik arahannya itu mampu dipasarkan dengan lebih meluas di mana-mana negara Islam lain sekiranya dibuat sedikit perubahan dengan mengubahsuai bahasa atau dubbing kerana mesej yang dibawa dalam filem itu amat baik," katanya. Sementara itu, salah seorang pelakon utama filem Green Love iaitu Wu Fung, menghargai usaha semua pihak yang menjayakan filem ini sama ada daripada pihak Finas mahupun krew penerbitan. Pelakon veteran dari Hong Kong itu turut meluahkan rasa gembira apabila buat pertama kali beliau berpeluang bekerjasama dengan pengarah dan penerbit dari Malaysia yang dianggapnya sebagai krew produksi yang terbaik. "Saya telah berlakon selama 60 tahun, inilah kali pertama saya ke Malaysia dan bekerja dengan pasukan Malaysia. "Krew bersemangat tinggi, rajin, bekerjasama dan bertanggungjawab. Ia menjadikan segala-galanya lancar dan mudah," tambahnya. Justeru beliau mengharapkan filem ini dapat memberi inspirasi dan menyentuh hati para penonton apabila ia ditayangkan kelak. - BERNAMA