suria

Reen Rahim Enggan Dedah Hubungan Cinta Selagi Belum Dilamar

Reen Rahim bakal bawa watak wartawan dalam KL Vampires. Foto ROHAIZAT DARUS

PETALING JAYA: Pelakon Reen Rahim tidak akan menghebahkan perihal hubungan percintaannya dengan kekasihnya selagi dia tidak dilamar oleh lelaki berkenaan.

Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim, 28, berkata, sebagai perempuan dia merasakan tidak manis untuk bercakap tentang sesuatu hubungan yang masih belum pasti.

"Saya tidak mahu dedahkan kepada umum dengan siapa saya berkawan dan bila untuk berkahwin kerana belum ada mana-mana lamaran.

"Kalau sudah sarung cincin dan dilamar barulah saya berani untuk bercakap lebih-lebih tentang hubungan itu," ujarnya kepada mStar Online.

Reen Rahim akui terkesan rakan baik sudah mendirikan rumah tangga.
Reen ditemui pada majlis pelancaran filem KL Vampires yang diadakan di Hotel Pearl International, di sini, Selasa.

Bagaimanapun, Reen mengakui terkesan apabila rakan-rakan baiknya seperti Ezzaty Abdullah dan Ika Nabila sudah selamat bergelar isteri.

"Perasaan itu memang ada terkesan sedikit tapi nak buat macam mana, saya minta doakan yang terbaik agar saya ditemukan jodoh.

"Insya-Allah, biasa yang datang lambat kepada kita adalah yang terbaik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Reen bakal terlibat dengan penggambaran filem KL Vampire yang bermula pada Ahad depan.

Katanya, dia bakal membawakan watak seorang wartawan jenayah dalam mengupas kejadian-kejadian aneh yang berlaku di kawasan kediamannya.

"Saya akan bawa watak sebagai seorang wartawan dan untuk filem ini saya mengambil inspirasi karakter pelakon Angelina Jolie yang tegas dan beberapa filem lakonannya," ujarnya.

Antara barisan artis yang terlibat ialah Raja Ilya, Josiah Hogan,Aeril Zafril dan Pablo Amirul.

Filem tersebut dijangka bakal ditayangkan penghujung tahun 2016.
Reen Rahim, KL Vampires

Artikel Lain