KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon Neelofa bakal menunaikan ibadah haji bersama ibu dan bapanya pada 5 September depan. Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 27, berkata, dia akan berada di tanah suci Mekah selama 15 hari dan dijangka pulang pada 20 September depan. "Alhamdulillah, perasaan saya sangat gembira dan teruja selepas mendapat tarikh untuk menunaikan ibadah ini bersama ibu dan bapa. "Setakat ini saya harapkan semuanya berjalan lancar seperti yang kami rancangkan, tapi kita tidak tahu bagaimana perancangan Allah, InsyaAllah semua dipermudahkan," ujarnya. Neelofa ditemui pada majlis rumah terbukanya yang diadakan di DeGouffron, di sini, Sabtu. Sementara itu Neelofa berkata, dia turut memasang niat untuk berdoa agar dipertemukan jodoh dan beberapa perkara lain dalam kehidupannya. "Sudah tentu hendak ke Mekah kita pasang niat untuk berdoa macam-macam dan salah satunya sudah pasti dipertemukan jodoh yang baik," ujarnya. Dalam perkembangan lain, pelakon filem Dollah Superstar ini berkata, dia masih bekerja dan akan meneruskan penggambaran drama Suri Hati Mr Pilot sehingga 4 September.