PETALING JAYA: Pelakon Raja Ilya memberitahu dia terpaksa menolak beberapa undangan melakukan persembahan nyanyian termasuk di Istana selepas menyertai program realiti Gempak Superstar pada Mei lalu. Raja Ilya, 31, berkata, buat masa ini dia belum bersedia membuat persembahan pentas sebagai seorang penyanyi profesional terutama di majlis-majlis besar. "Selepas program itu saya ada diundang untuk menyanyi di program-program televisyen, saya terima kerana tidak terlalu ramai penonton, itu pun saya tanya penerbit beberapa kali sama ada mereka benar-benar mahu saya menyanyi. "Selepas itu, beberapa persembahan yang berskala besar pula saya terima dan terpaksa tolak dengan baik kerana tidak bersedia. Salah satunya undangan nyanyian daripada pihak Istana bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri," ujarnya kepada mStar Online. Raja Ilya Sementara itu, Raja Ilya berkata, dia tidak menyangka bayaran yang ditawarkan untuk menyanyi lebih tinggi daripada bayaran berlakon sesebuah drama. Katanya, perkara itu juga membuatkan dia mahu lebih serius dalam bidang nyanyian dan merancang untuk merakamkan single bersama penyanyi terkenal Joe Flizzow dalam masa terdekat. "Saya tanya berapa bayaran untuk saya menyanyi dan terkejut kerana ia adalah harga saya berlakon. Cuma sekarang saya tidak boleh terima sebab saya perlu persediaan dan masuk kelas vokal terlebih dahulu. "Insya-Allah, saya juga ditawarkan untuk buat satu single yang turut bekerjasama dengan Joe Flizzow dalam masa terdekat," ujarnya. Kata Raja Ilya, dia memberi tempoh setahun untuk menyiapkan diri sebagai seorang penyanyi sebelum menerima undangan nyanyian.