PETALING JAYA: Penyanyi dan juga komposer Yasin meluahkan rasa bimbang untuk kembali aktif sebagai penyanyi setelah hampir 10 tahun tidak menerbitkan sebarang album dan lagu sendiri. Yasin atau nama sebenarnya Yasin Sulaiman, 41, berkata, perasaan itu muncul kerana dia sering memikirkan adakah karyanya genre 'world music' itu masih relevan dan boleh diterima pakai oleh generasi muda hari ini ataupun tidak. “Tidak saya nafikan perasaan bimbang untuk membuat kemunculan semula itu apatah lagi bila memikirkan yang saya sudah melangkau satu genarasi tanpa sebarang album dan lagu untuk diingati. Yasin (tengah) bersama Pengarah Urusan Warner Music, Darren Choy (kiri) dan wakil Warner Muzik, Mokhtaza. “Hal ini membuatkan saya jadi sedikit risau mampukah lagu-lagu saya nanti boleh serasi dengan jiwa generasi muda hari ini kerana kebanyakan lagu yang ada dalam pasaran muzik tanahair cukup berbeza dengan karya yang saya ketengahkan,” katanya kepada mStar Online. Yasin ditemui pada pelancaran single terbarunya iaitu Muzik di Warner Music, Mutiara Damansara, di sini, Selasa lalu. Dalam pada itu kata Yasin, bagi mengurangkan kegusaran itu, dia menggunakan khidmat penyanyi Faizal Tahir untuk membantunya memberi nafas baru kepada beberapa karyanya agar dilihat relevan dengan kemahuan dan selera pendengar hari ini. “Saya melihat Faizal Tahir seorang penyanyi dan komposer yang rajin membuat research pada lagu-lagu bergenre pop selain karyanya juga segar dan menepati selera pendengar muda hari ini. Yasin. “Justeru saya rasa mengapa tidak kalau saya cuba berkolabirasi dengannya? Alhamdulillah hasrat itu disambut baik oleh Faizal di mana menerusi lagu Muzik, dia turut bertindak sebagai suara latar dan pemain gitar,” katanya. Dalam perkembangan lain, kata Yasin biarpun sebelum ini dia jarang dilihat di televisyen, namun dia tetap aktif berkarya membuat lagu-lagu tema untuk badan-badan korporat dan agensi kerajaan selain permintaan beberapa artis lain. Di sisi lain katanya, album kali ini yang bakal diterbitkan sekitar Oktober nanti mungkin akan menjadi album terakhirnya sebelum mengambil keputusan untuk berehat panjang bagi menumpukan perhatian kepada keluarga. Menyentuh sisi peribadinya, Yasin mengakui kehidupannya pada hari ini sangat membahagiakan bersama isteri dan dua cahaya mata yang kian membesar. “Percaya atau tidak, kedua-dua anak saya iaitu Saamir (12 tahun) dan Malaika (8 tahun) seolah-olah baru perasan yang ayah mereka seorang artis. “Ini kerana waktu saya aktif dulu, mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa dan hari ini saya kembali aktif, mereka banyak bertanya tentang hal itu. "Perkara ini sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada saya untuk terus membanggakan mereka," katanya.