suria

Lagu Cakra Khan Diminati Bekas Presiden Indonesia

Cakra Khan bersama bekas presiden ketiga Indonesia, B. J. Habibie.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia Cakra Khan tidak menyangka lagu tema filem Rudy Habibie nyanyiannya berjudul Mencari Cinta Sejati digemari bekas presiden ketiga negara berkenaan iaitu B. J. Habibie.

Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman, 25, berkata, dia berasa gementar ketika merakamkan lagu tersebut kerana bimbang tokoh terkenal itu tidak menyukai cara nyanyiannya apatah lagi lagu yang dicipta oleh Melly Goeslow itu menceritakan tentang kisah hidup Habibie.

"Jujurnya saya merakamkan Mencari Cinta Sejati sebanyak empat kali kerana tidak berpuas hati dengan cara saya menyanyikan lagu itu dan ingin memberikan yang terbaik.

"Lebih membuatkan saya gementar apabila Habibie akan mendengar lagu itu terlebih dahulu sebelum memberi persetujuan ia digunakan sebagai lagu tema filem yang mengangkat kisah hidupnya," katanya kepada dalam satu temubual menerusi telefon dari Jakarta, Indonesia bersama mStar Online.

Cakra bakal muncul dengan album baharu.

Tambah Cakra, dia berasa lega apabila mengetahui Habibie menyukai lagu berkenaan selain beranggapan seperti sudah mendapat restu.

Filem Rudy Habibie menampilkan barisan pelakon seperti Reza Rahadian, Chelsea Islan, Boris Bokir, Ernest Prakasa, Pandji Pragiwaksono, Rey Bong dan Bastian Bintang Simbolon.

Ia yang juga sekual kepada filem Habibie dan Ainun diarahkan oleh Hanung Bramantyo ditayangkan di pawagam sejak 4 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Cakra berkata, Menari Cinta Sejati juga memperlihatkan impiannya untuk bekerjasama dengan komposer Melly Goeslow akhirnya tercapai.

"Saya sudah cuba mendapatkan lagu daripadanya sejak tiga tahun lalu dan ia pengalaman terbaik saya sepanjang bergelar penyanyi.

"Lagu ini juga adalah yang paling susah pernah dihasilkan Melly dan saya bertuah dapat bersama-samanya dalam perjalanan menyiapkan lagu tersebut.

"Pengalaman tersebut boleh disifatkan sebagai magik dan Melly seorang yang genius," katanya.

Dalam perkembangan lain, Cakra berkata, dia kini sedang sibuk menyiapkan album terbaharunya dan memberitahu ia bakal menampilkan beberapa kejutan buat peminatnya.

"Sekarang album berkenaan sudah 40 peratus siap dan akan ada beberapa kejutan buat peminat termasuk kolaborasi bersama beberapa penyanyi yang akan saya rahsiakan terlebih dahulu," katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk mengadakan konsert solo di Kuala Lumpur, Cakra bagaimanapun memberitahu dia masih belum bersedia kerana ia memerlukan persiapan rapi.

"Insya-Allah jika ada rezeki dan saya sudah bersedia untuk mengadakan konsert berskala besar saya pasti akan datang ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan peminat.

"Buat masa ini rasanya belum tiba masa kerana ia memerlukan persediaan rapi sebelum saya boleh tampil dalam sebuah konsert solo," ujarnya.

Artikel Lain