PETALING JAYA: Pengacara Datuk Aznil Nawawi memberitahu, dia tidak perlu mempromosikan produk kosmetiknya Anell by Aznil Nawawi secara berlebih-lebihan atau membuat sebarang tajaan seperti yang dilakukan peniaga komestik lain. Aznil, 54, berkata, dia sudah mempunyai nama yang kuat untuk diketahui umum dan tindakan promosi keterlaluan itu hanya akan menimbulkan rasa riyak dan tidak senang peniaga lain. "Saya tidak mahu berkongsi jumlah barang yang sudah terjual atau bercakap berlebih-lebihan tentang produk kosmetik Anell. Saya lebih selesa mempromosikan secara bersederhana sahaja kerana nama saya sendiri orang sudah kenal. "Bagi peniaga lain mereka perlu berbuat demikian untuk orang kenali dan tahu tentang produk mereka. "Bukan apa, jika bercakap lebih-lebih boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan, timbul rasa dengki dan khianat, ilmu hitam atau taktik jahat daripada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati," ujarnya kepada mStar Online. Aznil ditemui pada sidang media Gegar Fest yang diadakan baru-baru ini. Tambah Aznil, dia yakin masih boleh berjaya dengan menggunakan taktik jualan yang bersederhana tanpa promosi keterlaluan. "Saya sudah beritahu rakan kongsi bahawa tidak mahu promosi keterlaluan. Saya mahu ia dijual secara sedang-sedang sahaja kerana saya yakin ia tetap akan mendapat perhatian. "Sejak dulu dari segi kerjaya pun saya memang mangambil sikap bersederhana dan Alhamdulillah saya masih ada hingga hari ini," ujarnya. Katanya, dengan cara tersebut juga pengguna produk tidak hilang rasa hormat dan memberi respons yang baik. "Saya lihat ada yang beri maklum balas yang baik walaupun produk tersebut tidak berkesan pada kulit mereka. Saya tidak mahu bila cakap terlalu besar nanti orang akan marah jika tidak berkesan. "Maklumlah, setiap orang lain keberkesanannya, ada yang cepat ada yang lambat," ujarnya. Sementara itu, Aznil bakal menyertai karnival jualan Gegar Fest yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Ogos depan. Ujarnya, ia merupakan kali pertama menyertai aktiviti jualan yang turut melibatkan rakan-rakan artis lain seperti Rozita Che Wan, Zain Saidin, Sabhi Sadhi, Dafi Ismail Sabri dan Ryzal Jaafar. "Sebelum ini saya ada dengar orang kata saya artis elit yang tidak mahu terlibat dengan karnival jualan seperti ini. "Selalunya saya tidak sertai disebabkan jadual yang padat tapi nasib baik rakaman pada tarikh 26 dan 27 Ogos itu ditunda, dapatlah saya terlibat. "Kalau saya artis elit saya tidak jual produk tersebut dengan harga RM199, kerana semua harga produk seperti ini dalam lingkungan RM500 ke atas," ujarnya.