PETALING JAYA: Gara-gara terlepas perkataan kasar ketika membuat pesanan, maklumat peribadi penyanyi Nourul Wahab telah didedahkan kepada sebuah kumpulan lelaki gila seks oleh seorang pekerja restoran makanan segera. Nourul atau nama sebenarnya, Noorul Huda Abdul Wahab, 38, berkata, tindakan pekerja tersebut mengakibatkan dia menerima gangguan daripada beberapa individu dengan tujuan tidak baik termasuk menerima pelbagai ugutan. "Saya ada menghubungi sebuah restoran makanan segera untuk membuat pesanan, malangnya dia menjawap panggilan saya dengan nada yang tidak mesra dan secara tidak sengaja juga saya terkeluar satu perkataan yang agak kasar. "Selapas itu kira-kira 30 minit telefon saya mula dihubungi oleh orang yang gila seks dan mengajak saya ke hotel malah mereka juga menerima maklumat kononnya saya seorang janda," ujarnya kepada mStar Online. Nourul meluahkan perasaan geram dan kesal di laman sosial Facebook miliknya. Bagaimanapun, Nourul berkata, pihak restoran makanan segera sudah menghubunginya selepas dia memuat naik status di laman sosial pada Jumaat lalu. Tambahnya, pihak restoran itu turut meminta maaf dan akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pekerja berkenaan. "Pihak restoran ada hubungi saya untuk minta maaf, saya juga mengaku bahawa keluar satu perkataan yang tidak sepatutnya sehingga mengakibatkan pekerja itu marah. "Tapi tidak sepatutnya dia menyebarkan nombor dan maklumat peribadi saya kepada pihak lain sehingga menimbulkan ancaman keselamatan," ujarnya. Nourul berkata, dia sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada malam Jumaat lalu. Tambahnya, dia kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan membawa perkara tersebut ke mahkamah. "Saya buat laporan polis demi keselamatan saya kerana ada yang hubungi saya ugut yang bukan-bukan. Sekarang sedang kumpul bukti dan ikut nasihat peguam saya. "Jika dalam tempoh seminggu masih ada orang kacau saya tidak teragak-agak untuk bawa perkara ini ke mahkamah," ujarnya.