PETALING JAYA: Kumpulan rap duo iaitu Lawa Nie Geng pernah berasa tertekan dan terasa hati apabila single pertama mereka berjudul Jom Ke Pasar Malam dikritik sebagai lagu tidak berkualiti. Lawa Nie Geng yang dianggotai oleh Muariffah, 23, (Abon) dan Alabbas, 23, (Muyu), berkata, mereka tidak putus asa dan menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat untuk terus bekarya. "Pada awalnya memang rasa kecil hati dan tertekan apabila ramai yang hentam lagu tersebut dan mengatakan ia tidak ada maksud dan macam-macam lagi. "Tapi bila fikir balik ia adalah perkara biasa dan kami belajar untuk buat lirik dan lagu lebih baik dan lebih bermakna selepas itu," ujarnya Abon kepada mStar Online. Tambahnya, biarpun dikecam, namun lagu tersebut berjaya dijadikan paltform dikenali sebagai penyanyi baru dalam industri hiburan tanah air. Malah, karya-karya ciptaan mereka juga mula mendapat perhatian artis lain untuk dinyanyikan. "Alhamdulillah, selepas Jom Ke Pasar malam orang mula kenal Lawa Nie Geng, bagi saya kecaman juga satu publisiti. Lepas lagu itu kami keluar dengan single berjudul Aduh-Aduh Sayang. "Selain itu kami juga buat lagu untuk penyanyi lain seperti Eleena Harris untuk lagu Terlalu Rindu dan Tasha Mansahar untuk lagu Ragu-Ragu dan Oh No," ujarnya. Dalam pada itu, kumpulan Lawa Nie Geng kini dalam rangka promosi single terbaharu mereka berjudul Joget Budak Lawa. Lagu tersebut merupakan salah satu daripada 16 lagu dalam album Lawa yang dilancarkan pada Mac lalu. "Sekarang promosi lagu Joget Budak Lawa, kami harap ia dapat sambutan kerana lagu ini mempunyai keunikan tersendiri," ujarnya.