PETALING JAYA: Pelakon Datin Anne Ngasri berkata anak-anaknya adalah insan yang paling teruja apabila melihat dirinya terlibat dalam filem Love Supermoon. Anne atau nama sebenarnya, Nasriah Ngasri, 32, berkata, mereka turut memberitahu rakan-rakan sekelasnya untuk pergi menonton filem yang ditayangkan pada Oktober tahun lalu itu. "Anak-anak saya suka kalau nampak saya berlakon, ketika filem Love Supermoon ini ditayangkan dia suruh kawan-kawan sekolahnya pergi menonton di pawagam. Anne kini fokus kepada keluarga. "Sampaikan tiga kelas di sekolah itu datang menonton filem berkenaan dipanggung, terpaksalah ibu-bapa mereka bawa anak-anak ke panggung disebabkan anak saya sibuk suruh tengok emak dia berlakon," ujarnya kepada mStar Online. Anne ditemui pada sesi fotografi bersama barisan calon lima terbaik Festival Filam Malaysia ke-28 (FFM 28) di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini. Pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Cili Padi mendirikan rumah tangga dengan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan, 42, pada 22 Disember 2012. Menerusi perkahwinan itu, Anne dan Sumali dikurniakan seorang anak lelaki Sufi Harraz yang kini berusia setahun. Hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Abdul Wafi Hassan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Abdul Warits, 11, Abdul Wafri, 8, dan Nazharah Afrozah, 6. Sementara itu, Anne berkata, filem tersebut merupakan lakonannya selepas lebih 10 tahun tidak aktif dalam dunia seni. Katanya, dia juga tidak menjangkakan untuk tercalon dalam apa-apa anugerah terutama melibatkan industri seni. "Secara jujur saya terkejut sangat bila diberitahu bahawa tercalon kerana filem ini merupakan lakonan saya selepas lama menyepi daripada industri lakonan. "Saya juga tidak sangka filem ini ditayangkan kerana berhadapan dengan beberapa masalah ketika itu," ujarnya. Anne semakin jelita walaupun sudah mempunyai empat cahaya mata. Bagaimanapun, Anne berkata, pencalonan tersebut tidak bermakna dia mula kembali aktif dalam industri lakonan tanah air. "Lakonan memang sudah sebati dalam diri saya, namun tanggungjawab saya sebagai ibu lebih penting dan anak-anak pula sedang membesar. "Sebelum ini memang ada beberapa tawaran tapi saya tidak dapat ambil kerana tidak mahu menimbulkan masalah disebabkan saya. "Saya faham bila kita tandatangan kontrak kita perlu beri komitmen seratus peratus," ujarnya. Anne tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Love Supermoon yang turut dibintangi oleh Nadiya Nissa dan Farid Kamil. Filem tersebut menerima empat pencalonan lain iaitu Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Lakon Layar Terbaik. Malam kemuncak festival berprestij itu bakal diadakan pada 3 September depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pukul 9 malam. Ia turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD.