suria

TV Alhijrah Siar 'Khutbah Arafah', Ustaz Don Sebagai Hos

Ustaz Don Daniyal

KUALA LUMPUR: Mengembalikan semangat Khutbah Arafah menjadi agenda utama program Liputan Musim Haji 1437 Hijrah Labbaikallah yang akan bersiaran di TV Alhijrah mulai 29 Ogos hingga 15 September depan.

Khutbah Arafah merupakan ucapan terakhir Nabi Muhammad SAW yang disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah - tahun terakhir Rasulullah menunaikan Ibadah Haji sebelum baginda wafat.

"Sudah sampai masanya, Khutbah Arafah dihidupkan semula sebagai meneruskan dakwah Rasulullah," kata Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Izelan Basar.

Berdasarkan aspirasi dalam khutbah tersebut, kata Izelan, Musim Haji menjadi detik peringatan terhadap akhlak umat Islam dalam mendepani cabaran zaman.

Pada sesi pelancaran program Labbaikallah, Izelan turut mengumumkan Ustaz Don Danial Don Biyajid sebagai hos program berdurasi 30 minit itu.

Ustaz Don Daniyal (tiga dari kiri) bersama Izelan Basar (dua dari kiri) dan mereka yang terlibat dalam Khutbah Arafah.
Antara kandungan Khutbah Arafah, Rasulullah mengingatkan mengenai bahaya hasutan syaitan yang tidak akan berhenti memesongkan akidah umat Islam sehingga Hari Kiamat.

Malah, Rasulullah SAW turut mengingatkan mengenai pentingnya kejujuran dalam menguruskan amanah harta awam, memelihara hak wanita serta menjaga perpaduan di kalangan ummah.

Program 17 episod ini akan disiarkan setiap 9 malam manakala Khutbah Arafah di kalangan jemaah Malaysia akan disiarkan secara langsung pada 10 September selepas solat Asar.

"Kami mahu semangat Khutbah Arafah menjadi pencetus fikiran dan peringatan untuk penonton. Ia penting bukan untuk 22,000 jemaah haji Malaysia semata-mata tetapi juga untuk 16 juta Muslim di tanah air," kata Izelan.

Sebagai galakan, TV Alhijrah menyediakan kuiz ibadah Haji yang menawarkan hadiah sebuah Proton Saga, tiga motosikal Modenas dan enam tiket umrah kepada penonton yang bertuah.
Ustaz Don, TV Alhijrah

Artikel Lain