KUALA LUMPUR: Pelakon Erra Fazira menjelaskan kali terakhir dia bertemu dengan penyanyi Shahir yang dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengannya hampir dua tahun lalu. Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 42, sebaliknya berkata, sepanjang tempoh itu mereka hanya menggunakan medium aplikasi WhatsApp untuk bertanya khabar dan mengetahui perkembangan masing-masing. "Banyak perkara yang diperkatakan tentang kami tidak benar malah kami kali terakhir bertemu pun setahun setengah yang lalu. Pada kebanyakan masanya kami bertanya khabar menerusi WhatsApp dan panggilan telefon," katanya kepada mStar Online. Erra ditemui pada majlis pelancaran wangian Forget Me Not dan Loveable bawah jenamanya di Hotel Royale Chulan di sini, Selasa. Shahir AF8. Dua minyak wangi tersebut adalah kerjasama di antara Erra dan Hot Perfumes dan Air Fresheners Industries Sdn Bhd. Sebelum ini Shahir yang juga juara program Akademi Fantasia musim kelapan mengakui sedang berkawan dan mengenali hati budi Erra. Malah ura-ura Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 27, akan merisik pelakon itu pada Aidilfitri lalu turut hebat diperkatakan. Dalam pada itu, Erra menjelaskan dakwaan mengenai bakal berkahwin bukan datang daripada mulut mereka dan ia sama sekali tidak benar. "Perkara tentang merisik dan berkahwin tidak pernah datang daripada mulut saya atau pun Shahir. "Cuma dia hanya menjelaskan kami memang berkawan itu sahaja dan perancangan berkahwin seperti diperkatakan sama sekali tidak benar," jelasnya. Sementara itu, Erra meminta agar kisahnya dengan Shahir tidak lagi diperbesarkan kerana mereka sekadar berkawan. "Saya sudah tidak tahu ingin cakap apa lagi kerana kami hanya berkawan sahaja dan berharap ia tidak lagi diperbesar-besarkan," katanya.