suria

Nazim Bakal Kongsi Tarikh Kahwin Di Instagram Pada Masa Terdekat

Nazim Othman

PETALING JAYA: Pelakon Nazim Othman akan berkongsi tarikh perkahwinannya dengan aktres Bella Daly, 26, menerusi laman sosial Instagram miliknya pada masa terdekat.

Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman, 32, berkata, ia berikutan kekuatan laman sosial itu yang lebih mudah dan cepat untuk diketahui oleh peminat-peminatnya.

"Saya akan beritahu tentang majlis perkahwinan saya bukan dalam sidang media, sebaliknya menerusi laman sosial Instagram tidak lama lagi.

"Saya rasakan ia lebih adil buat peminat-peminat dan saya akan jelaskan semua butiran tentang perkahwinan itu dalam Instagram saya," ujarnya kepada mStar Online.

Nazim menjawab soalan media tentang tarikh perkahwinanya dengan Bella Dally atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally.

Dia ditemui pada majlis pelancaran drama Lara Aishah yang diadakan di Restoran Ruyi-Lyn, di sini, Selasa.

Dalam pada itu, pelakon Teruna Kimchi ini turut memberitahu persiapan perkahwinannya berjalan lancar dan dipermudahkan.

Bella Daly dan Nazim. Foto dari Instagram Bella Daly
"Insya-Allah majlis itu dalam masa terdekat, kami sudah ada tarikh dan lokasi, sekarang sedang buat persiapan sahaja.

"Alhamdulillah, setakat ini berjalan lancar saya baru sahaja selesai penggambaran untuk pre-wedding di Bali, Indonesia," ujarnya.

Dalam pada itu, Nazim berkata, dia tidak mahu terlalu menghebahkan tentang perkahwinan tersebut seperti yang dilakukan selebriti lain.

Katanya, majlis tersebut terlalu peribadi dan hanya mahu dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat sahaja.

"Saya tidak mahu perkahwinan saya disensasikan macam perkahwinan selebriti lain.

"Kalau boleh biar saya kenal semua tetamu yang saya jemput itu, jika media pun saya beri keutamaan yang banyak membantu dan buat cerita baik tentang saya selama dalam industri," ujarnya.

Pada Januari lalu, Nazim membuat pengumuman di Instagram telah bertunang dengan aktres Bella Daly pada 14 November 2015.
Nazim Othman

Artikel Lain