suria

Penyanyi Pop Indonesia, Eddy Silitonga Meninggal Dunia Akibat Diabetis

Eddy Silitonga. FOTO ihsan portal liputan6.com

JAKARTA: Penyanyi pop Indonesia yang turut popular di Malaysia pada tahun-tahun 70-an dan 80-an, Eddy Silitonga, 65, meninggal dunia awal Khamis setelah dua minggu dimasukkan ke Hospital Fatmawati di sini kerana menderita diabetis kronik.

Anak lelaki Eddy, Marco mengumumkan kematian ayahnya itu di laman sosial sebelum disiarkan oleh media dalam talian dan televisyen tempatan.

"Ayah saya, Eddy Silitonga meninggal dunia pada pukul 12.05 pagi tadi di Rumah Sakit Fatmawati, Jakarta Selatan," kata Marco dalam kenyataannya di sebuah laman sosial.

Antara lagu-lagu Eddy yang dipopularkan oleh artis Malaysia ialah Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu nyanyian Aishah.

Lagu-lagunya yang lain sering diperdengarkan Radio Malaysia ialah Bunga Tanjong, Lancang Kuning, Bunga Pujaan dan Jatuh Cinta.

Penyanyi itu dikejarkan ke Hospital Fatmawati, Jakarta Selatan dua minggu lepas setelah mengadu sesak nafas.

Pihak hospital mengesahkan mendiang meninggal awal pagi tadi akibat komplikasi diabetis dan masalah jantung.

Eddy berasal dari Permatang Siantar, Sumatera Utara. --- BERNAMA 

Eddy Silitonga

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain