KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Slam iaitu Zamani menafikan kononnya dia kini kembali terjebak dengan aktiviti penagihan dadah selepas bebas dari pusat rawatan pemulihan di Rumah Pengasih tahun lalu. Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 45, berkata, dia mempunyai bukti yang kukuh dengan surat akuan bebas dadah dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sungai Besi. "Sebenarnya khabar angin atau cakap-cakap saya kembali semula menagih adalah tidak benar dan saya sudah dapatkan surat akuan bebas dadah sebagai buktinya. "Saya baru sahaja ke sana untuk buat rawatan susulan dan mendapatkan surat itu untuk persediaan diri saya sendiri," ujarnya kepada mStar Online. Menerusi konsert Tiga Suara, Zamani bakal bergandingan dengan Ameng, Jamal Abdillah dan Jamilul Hayat. Penyanyi lagu Gerimis Mengundang ini menjawab khabar angin kembali terlibat dengan najis dadah selepas berat badannya dilihat semakin merosot. Zamani ditemui pada sidang media konsert Tiga Suara di Istana Budaya pada Khamis. Dalam pada itu, Zamani berkata berat badannya turun berikutan jadual kerja yang terlalu padat. "Orang tidak tahu saya terlalu sibuk dengan persiapan konsert Slam dan Tiga Suara ini sehingga sedikit menggangu masa makan. "Sebenarnya saya malas untuk komen panjang kerana khabar angin bersifat negatif ini hanya akan merosakan kerjaya saya. "Saya takut ia akan menggangu perjalanan konsert Tiga Suara yang diusahakan oleh Datuk Jamal Abdillah ini," ujarnya. Konsert Tiga Suara yang turut membariskan penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah dan Ameng Spring itu akan diadakan pada 22 hingga 25 September depan di Istana Budaya.