suria

Dayang Nurfaizah Tidak Malu Guna Pengangkutan Awam

Dayang Nurfaizah tidak mempunyai masalah menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam walaupun dia seorang selebriti terkenal.
PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah tidak berasa malu sekiranya perlu menggunakan perkhidmatan pengakutan awam seperti LRT hanya kerana statusnya sebagai selebriti yang dikenali umum.

Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 34, berkata, dia tidak mempunyai sebab untuk bersikap demikian sebaliknya menganggap ia lebih mudah jika ingin ke sesuatu destinasi di dalam Kuala Lumpur.

"Semua orang pun tahu keadaan trafik di Kuala Lumpur ini macam mana dan sebenarnya lebih mudah menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam berbanding memandu.

Dayang sedang sibuk menyiapkan rakaman album terbaharunya.
"Malah saya sendiri sering juga menggunakan LRT jika keluarga saya dari Sarawak datang ke Kuala Lumpur untuk bersiar-siar.

"Selain mudah mereka juga dapat merasai pengalaman seperti mana kebanyakan masyarakat di ibu kota," katanya kepada mStar Online.

Dayang ditemui ketika hadir pada majlis pelancaran Hot FM @ LRT di stesen LRT Bank Rakyat Bangsar di sini, Khamis.

Bermula 1 September ini, Hot FM @ LRT akan menampilkan pengisian muzik serta informasi di paltform LRT terpilih bagi menghiburkan pengguna.

Antara platform terpilih ialah laluan Kelana Jaya iaitu stesen KLCC, KL Sentral, Masjid Jamek, Wangsa Maju dan Bank Rakyat, Bangsar.

Ia akan menghiburkan peminat pengguna LRT seawal 6 pagi sehingga 12 tengah malam dengan sajian lagu-lagu pelbagai bahasa seperti Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, Korea dan Hindi.

Dalam pada itu, Dayang berkata, dia melihat program Hot FM @ LRT itu sebagai perkembangan positif kerana ia boleh menghiburkan pengguna ketika menanti di paltform.

Malah katanya, ia juga sebagai satu bentuk promosi buat penyanyi sepertinya apabila lagu dimainkan di tempat terbuka.

Pelancaran Hot FM @ LRT yang diadakan pada pagi Khamis.

"Saya sendiri sebagai pengguna LRT kadang-kadang berasa bosan juga kerana tiada hiburan ketika menunggu dan inisiatif ini sangat baik tambahan pula ia bukan sahaja ada lagu tetapi informasi.

"Jika saya lagu baharu sebagai contoh ini adalah medium promosi terbaik sekiranya lagu itu nanti dimainkan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Dayang berkata, dia kini sedang sibuk dengan proses menyiapkan album studio ketujuhnya yang dijangka akan berada di pasaran pada awal tahun hadapan.

Kata Dayang menerusi album itu, dia gembira dapat berkolaborasi dengan komposer yang pernah menaikkan namanya dahulu seperti Ajai dan Aubrey Suwito.

Dayang Nurfaizah, Hot FM

Artikel Lain