suria

"Berdebar Urus Persiapan Kahwin Berbanding Akad Nikah" - Saharul Ridzwan

Saharul Ridzwan dilantik sebagai duta saluran Tonton. FOTO dari Instagram Saharul Ridzwan.

MELAKA: Pelakon Saharul Ridzwan mengakui tidak mendapat tidur yang cukup apabila terlalu memikirkan mengenai persiapan perkahwinannya dengan Deen Emir Mohamed Akif Emir, 28 yang bakal berlangsung pada 16 September depan.

Saharul, 27, malah berkata, tekanan dalam memastikan majlis itu nanti berjalan lancar melebihi debaran bagi menghadapi majlis akad nikahnya dengan pengusaha butik pakaian muslimah itu.

"Ini bukan perkara main-main dan tidak keterlaluan untuk saya katakan, debarannya melebihi dari memikirkan untuk majlis akad nikah sehingga membuatkan saya tidak tidur lena.

"Bagiamanapun Alhamdulillah 90 peratus persiapan menjelang majlis itu nanti sudah siap," katanya kepada mStar Online.

Saharul ditemui di majlis pengumumannya sebagai Duta Tonton VIP bersama pelakon Mia Ahmad di Desa Balqis Beach Resort, Melaka, Sabtu lalu.

Saharul Ridzwan bakal berkahwin pada 16 September ini.

Pasangan itu bakal disatukan dalam sebuah majlis akad nikad di Masjid Tuanku Zainal Abidin Putrajaya pada pukul 9 pagi sebelum diraikan dalam majlis resepsi Dewan Sri Siantan Putrajaya.

Pelakon itu turut bercadang untuk mengadakan satu lagi majlis yang akan ditentukan kemudian lokasi dan tarikh untuk peminat dan media.

Dalam pada itu, Saharul menegaskan dia tidak akan meninggalkan bidang lakonan selepas bergelar suami kerana dunia seni sudah sebati dengan dirinya.

"Berhenti berlakon itu tidak namun saya mempunyai perancangan untuk lebih aktif dalam lapangan perniagaan selepas ini seperti mengusahakan perniagaan berkonsepkan pemakanan atau protein, namun semuanya itu masih dalam perancangan," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta Tonton VIP, Saharul menganggpa ia sebagai rezeki bakal pengantin baharu.

Menerusi pakej VIP  serendah RM3 itu, penonton ditawarkan program siaran langsung, saluran premium dan arkib video tonton melebihi 23,000 jam tanpa henti tanpa sebarang iklan.

Pelan VIP ini bermula dari RM3 (sehari), RM5 (seminggu), RM10 (sebulan) dan RM96 (setahun).

Dalam perkembangan lain, Saharul  bakal tampil dengan sebuah telefilem merdeka berjudul Kapchai Ayah (TV3) selain sedang menjalani penggambaran dua buah drama bawah produksi  JS Pictures Sdn. Bhd iaitu Jalan Balik Surau dan Kehebatan Ilahi.

Saharul dan bakal isterinya Deena Emir.

Katanya, menerusi dua telefilem itu, dia sekali lagi dicabar pelakon Sheila Rusly untuk memegang dua peranan yang berat berbanding watak yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

"Ini bukan kali pertama saya menyahut cabaran beliau namun bezanya watak kali ini lebih berat dan perkara ini sebenarnya membuatkan saya teruja untuk membuktikan kemampuan saya," katanya.

Saharul sebelum ini berjaya meraih populariti luarbiasa selepas kejayaannya memegang watak Tengku Zaril dalam drama Hati Perempuan yang ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3 tidak lama dulu.

Saharul Ridzwan

Artikel Lain