suria

"Pilih Barang Kemas Tiada Kaitan Dengan Datuk Red" - Ruhainies

Ruhainies tidak mahu dikaitkan dengan lelaki.

PETALING JAYA: Pelakon kontroversi Ruhainies menafikan dakwaan kononnya dia mempunyai rancangan untuk berumah tangga dengan ahli perniagaan yang digosipkan dengannya iaitu Datuk Seri Adnan Abu atau dikenali sebagai Datuk Red.

Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, berkata, dia memuat naik gambar di sebuah kedai emas jenama terkenal adalah memenuhi undangan bagi pihak tersebut sempena majlis sambutan Hari Kebangsaan.

"Gambar yang saya muat naik ketika di kedai Habib Jewels itu kerana saya diundang untuk majlis mereka baru-baru ini dan mereka minta untuk promosikan di laman sosial Instagram saya.

Gambar Ruhainies di kedai barang kemas yang menimbulkan tanda tanya peminat.

"Ia tiada kaitannya dengan Datuk Red atau siapa-siapa lelaki pun, bukan saya sahaja, malah ramai artis lain yang turut sertai majlis tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Ruhainies menjawab berita di ruangan laman gosip bahawa dia merancang untuk berkahwin dengan suami penyanyi Adira Suhaimi itu selepas memuat naik gambar di sebuah kedai barangan kemas terkenal pada Sabtu lalu.

Tambah pelakon Menantu TingTong  ini, dia tidak tahu mengapa gambar tersebut dikaitkan dengan ahli perniagaan itu berikutan dia sudah pun menjelaskan keadaan sebenar kontroversi yang mengaitkan lelaki berkenaan.

"Saya tidak tahu kenapa dikaitkan lagi dengan dia (Datuk Red), mereka buat cerita ni tak takut dosa ke?

"Semua sudah reda dan tiada yang komen negatif, saya tidak mahu lepas ni hangat balik cerita-cerita tidak betul seperti ini," ujarnya.

Datuk Red bersama isteri keduanya Adira Suhaimi.

Sementara itu, Ruhainies menambah, dia juga tidak mempunyai hubungan cinta dengan mana-mana lelaki termasuk pelakon gandingannya dalam Menantu TingTong iaitu Azrel Ismail.

Katanya, hubungannya dengan aktor tersebut sekadar rakan baik sahaja dan belum sampai tahap bercinta.

"Dia seorang yang baik dan saya selesa berkawan dengan dia, tapi belum sampai lagi tahap ada hubungan istimewa.

Ruhainies turut dikaitkan dengan pelakon Azrel Ismail.

"Semua hubungan dengan lelaki ada batasnya dan saya belum lagi bersedia untuk bercinta," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang kerjaya lakonanya selepas dihimpit pelbagai gosip buruk, Ruhianies berkata, dia bersyukur ia tidak memberi kesan negatif.

Bagaimanapun, dia akan tetap berhati-hati dalam setiap perkara yang ingin dilakukan agar tidak menimbulkan kontroversi sekali lagi.

Ruhainies

Artikel Lain