KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Handy Black iaitu Zul pernah disindir ketika menyampaikan dakwah dari rumah ke rumah bersama rakan-rakan tabligh gara-gara statusnya sebagai penyanyi rock yang dikaitkan sering dikaitkan dengan aktiviti negatif. Zul atau nama sebenarnya Nurzul Suphia'an Sa'ban, 41, berkata, dia juga pernah dilabel sebagai pendakwah 'hangat-hangat tahi ayam selain dianggap berlagak baik. "Pernah beberapa kali saya disindir malah diherdik ketika berdakwah hanya kerana saya adalah penyanyi rock tetapi Alhamdulillah ia adalah dugaan untuk saya," katanya kepada mStar Online. Zul ditemui sewaktu membuat persembahan terbuka bersama kumpulan Assalam Buskers di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, baru-baru ini. Dalam pada itu, Zul berkata, dia bersyukur kerana berkesempatan menggunakan popularitinya sebagai selebriti selama lebih 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni untuk digunakan dalam kerja dakwah. Zul (dua dari kiri) ketika membuat persembahan di Taman Tasik Titiwangsa baru-baru ini bersama Assalam Buskers. Kata Zul lagi, dia terbuka hati untuk mendekati kumpulan tabligh selepas kematian arwah bapanya dua tahun lalu dan bersyukur diberi peluang untuk mendalami ilmu agama. "Keputusan mendekatkan diri dengan tabligh dan kerja amal datang selepas arwah bapa saya meninggal dan ketika itu saya sedar banyak melepaskan masa berkualiti bersamanya kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia. "Alhamdulillah saya bersyukur diberi peluang ini untuk bersama ahli-ahli agama dalam menjalankan kerja dakwah dan amal," katanya. Bercakap lanjut mengenai aktiviti dakwah disertainya, Zul berkata selain berkunjung dari rumah ke rumah, dia juga bertindak sebagai jurucakap di bawah seliaan penceramah terkenal, Yusri Karim. Katanya, antara rakan selebriti yang sering bersama-samanya menjalankan aktiviti berdakwah ialah seperti Ijam (Medicine), Iwan Dangdut, Ali (XPDC) dan Shamsul Ghau-Ghau. "Selain itu saya turut menyertai Assalam Buskers membuat persembahan di tempat terbuka dan riadah untuk mendekati orang ramai," katanya. Dalam perkembangan lain, Zul memberitahu dia tidak akan meninggalkan bidang nyanyian namun meletakkan beberapa syarat agar seni disumbangkan itu mampu memberi manfaat kepada peminat dan masyarat. "Pada saat saya menyertai aktiviti dakwah saya sudah tetapkan hati untuk terus istiqamah kerana saya tahu banyak dugaan dan cabaran dan saya percaya Allah akan memudahkan jika kita ikhlas demi menyebarkan syiar Islam," katanya.