KUALA LUMPUR: Pengarah filem Jagat iaitu Shanjhey Kumar Puramal berharap kemenangan filem itu dalam kategori Filem Terbaik Malaysia di Festival Filem Malaysia (FFM28), dapat merangsang penjualan filem berkenaan agar mendapat pulangan modal pembikinan sebanyak RM500,000. Shanjhey berkata, filem yang hanya berjaya mengaut sebanyak RM300,000 kutipan ketika ditayangkan di pawagam pada Disember tahun lalu itu akan meneruskan strategi pemasaran mereka di peringkat televisyen. "Kos pembikinan sebanyak RM300,000 ditambah kos promosi RM200,000 dan kami hanya menerima sebanyak RM300,000 kutipan pada tayangan di pawagam pada Disember 2015. "Belum ada untung tapi belum juga dikira rugi kerana kami akan meneruskan strategi pemasaran untuk menjualnya di peringkat video on demand seperti Astro First dan mungkin selepas kemenangan ini lebih ramai yang ingin tonton filem berkenaan," ujarnya. Shanjhey yang turut memenangi kategori Pengarah Baharu Terbaik pada FFM28 yang berlangsung pada Sabtu lalu. Jagat berjaya memenangi kategori Filem Terbaik FFM28. Sementara itu, kata Shanjhey, filem pertamanya itu menerima banyak cabaran dan kekangan kewangan semasa proses pembikinannya. Bagaimanapun, perkara itu sudah pun terbayar dengan pengiktirafan yang diterima pada anugerah berprestij peringkat nasional ini. Malah katanya, kemenangan tersebut membakar semangat kepada dia dan kumpulannya untuk terus menghasilkan filem-filem berkualiti. "Terlalu banyak cabaran yang kami hadapi, kalau ikutkan filem ini underdog kerana kos pembikinannya tidak sampai 30 peratus pembikinan filem seperti Ola Bola atau Munafik. "Kami masih baru dan banyak pihak tidak percaya dengan apa yang kami lakukan, sukar untuk meyakinkan orang untuk melabur dalam filem ini," ujarnya. Sementara itu, ditanya tentang filem berkenaan berjaya menewaskan sembilan filem lain termasuk Munafik yang memenangi kategori utama iaitu Filem Terbaik Nasional, Shanjhey berkata, dia menerima keputusan tersebut sebagai sebuah proses. Dia berharap, FFM dapat mengkaji dan memperbaiki semula kategori-kategori yang dipertandingkan supaya lebih mengutamakan kepda bahasa visual sesebuah filem. "Sebenarnya saya tidak kisah menang dalam kategori apa sekalipun dan sudah dicalonkan juga satu pengiktirafan buat kami yang masih baru. "Tapi jika ditanya pendapat peribadi, kami berharap kategori utama ini menjadi satu sahaja, namun kami percaya ia mengambil masa untuk ke arah itu kerana pasti ada banyak tentangan. "Jadi kami ingin menjadi salah satu daripada proses penambahbaikan tersebut," ujarnya.