suria

Seniwati Hashimah Yon Buat Korban Di Terengganu

Seniwati Hashimah Yon (depan kiri) bersama 59 pelancong Singapura menyertai ibadah korban di Terengganu. Foto BERNAMA

KUALA NERUS: Seniwati terkenal Hashimah Yon sanggup datang dari Singapura ke Terengganu bagi menyambut Hari Raya Aidiladha dan sekaligus melakukan ibadah korban di sini, Isnin.

Hashimah, 77, tiba di Kuala Nerus pada Jumaat lalu bersama 59 pelancong Singapura bagi menyertai program ibadah korban anjuran anak syarikat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berserta sebuah syarikat pelancongan dari negara jiran itu.

Beliau yang membahasakan dirinya sebagai nenek berkata  bersyukur kerana dapat melaksanakan ibadah korban di negara ini selain dapat melepaskan rindu untuk melawat Terengganu.

"Kali terakhir nenek datang ke sini ialah 50 tahun lalu. Banyak perkara yangnenek rindukan tentang Terengganu terutama penyunya.

"Kebetulan kawan nenek kata ada pakej pelancongan ibadah korban di Terengganu, jadi kami semua setuju menyertai program ini," katanya.

Hashimah pada zaman kegemilangannya pernah muncul dalam filem Melayu di Singapura seperti Nujum Pak Belalang, Anakku Sazali, Singapura Dilanggar Todak dan Megat Terawis.

Seorang lagi rakyat Singapura Halus Naim, 61, teruja apabila melihat ibadah korban yang dilakukan di perkarangan Balai Raya Kampung Bukit Wan.

"Kalau di Singapura penyembelihan dilakukan secara tertutup namun di sini sesiapa sahaja boleh melihatnya sendiri, malah kita boleh membantu melapah daging korban sebelum ia diagihkan.

"Saya juga seronok kerana orang kampung begitu baik melayan kami dan semangat kerjasama mereka sangat kuat hingga menjadikan aktiviti ibadah korban hari ini berjalan lancar," katanya yang datang bersama suaminya Ramli Khalil,60.

Sebanyak tujuh ekor lembu dan tiga ekor kambing dikorbankan dengan bayaran $S270 untuk satu bahagian lembu dan $S350 untuk seekor kambing.

Korban dimulakan seawal 9 pagi selepas solat sunat Aidiladha dengan kesemua pelancong Singapura itu turut dijamu gulai daging yang dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

Pengurus Besar Unisza Tourism Sdn Bhd, Lokman Hakim Abd Razak berkata pakej pelancongan ibadah korban itu telah diperkenalkan dalam siri promosi Beautiful Terengganu di Singapura sebelum ini.

"Program ini diharap mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan dalam negeri terutama menjelang Tahun Melawat Terengganu 2017.

"Insya-Allah program sebegini akan diperluaskan lagi pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai pelancong dari luar," katanya.

Pelancong Singapura itu akan berlepas pulang esok. - BERNAMA

Hashimah Yon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain