suria

Siti Datuk Sosilawati Jadikan Ibu Sebagai Inspirasi

Siti Datuk Sosilawati menjadikan ibunya sebagai inspirasi dalam memulakan karier dalam bidang fesyen.

PETALING JAYA: Anak bongsu kepada jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya menjadikan ibunya itu sebagai inspirasi ketika mengambil keputusan terjun ke arena fesyen menerusi jenama Siti Buhari.

Siti Nur Fatimah Buhari, 19, berkata, sejak kecil dia kagum dengan semangat juang ibunya dalam membangunkan empayar perniagaan dan mengambil kekuatan itu bagi melancarkan koleksi sulungnya dalam arena fesyen baru-baru ini.

"Sejak kecil saya sentiasa berasa kagum dengan ibu kerana beliau seorang yang tidak pernah kenal putus asa dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam membangunkan perniagaannya.

"Walaupun pelbagai rintangan terpaksa dilalui namun kesabaran, semangat juang dan disiplinnya meninggalkan kesan kepada kami adik-beradik.

"Pun begitu beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu sehingga ke akhir hayatnya," katanya kepada mStar Online.

Siti bersama kakaknya, Rita Datuk Sosilawati yang banyak memberi sokongan.

Siti Buhari membuat penampilan sulung menerusi pelancaran About A Girl iaitu dua koleksi termasuk rekaan sedia dipakai dan bersempena Aidiladha.

Dalam pada itu, Siti Nur Fatimah berkata, dia tidak melihat usianya yang masih muda sebagai penghalang untuk menceburi bidang fesyen.

Sebaliknya katanya, apa paling penting minat dan usaha dalam melakukan sesuatu membuatkan dia yakin dalam menempuh sebarang halangan.

"Saya sebenarnya pada usia 17 tahun lagi sudah berhasrat untuk melancarkan koleksi pertama tetapi ketika itu kakak saya, Rita Datuk Sosilawati menasihatkan agar saya memberi tumpuan kepada peperiksaan terlebih dahulu.

"Pada saya, usia bukan penghalang asalkan kita percaya dengan diri sendiri selain berusaha dalam mencapai cita-cita.

Antara rakan artis yang turut memberi sokongan.

"Sudah tentu saya menghadapi banyak halangan tetapi ia sumber kekuatan dalam melancarkan koleksi pertama saya," katanya.

Sementara itu, Siti Nur Fatimah berkata, dia turut mengambil ibunya sebagai inspirasi ketika menghasilkan koleksi pertamanya.

Katanya, arwah ibunya seorang yang ringkas dalam berfesyen namun sentiasa kelihatan elegan dan sofisikated sebagai ahli perniagaan.

"Jika dilihat koleksi saya ia ringkas dan tidak banyak corak digunakan kerana itu adalah inspirasi daripada ibu saya.

"Saya sentiasa mengagumi citarasa fesyennya yang tidak keterlaluan dan ringkas tetapi masih elegan," katanya.

Koleksi pertama Siti Buhari.

Dalam perkembangan sama, Siti Nur Fatimah yang ingin dikenali sebagai Siti Datuk Sosilawati memberitahu koleksi Aidiladha menampilkan rekaan kaftan berwarna pastel serta jubah hitam yang dijahit menggunakan material berkualiti tinggi.

Manakala koleksi sedia dipakai rekaannya lebih sederhana namun elegan dengan potongan feminin selain mengekalkan keseimbangan antara kesopanan, gaya, keselesaan dan praktikal.

"Saya bekerja rapat dengan empat pereka tempatan sejak April lalu dan rekaan kami dizahirkan dengan bentuk feminin seperti princess cutting dan peplum.

"Salah satu daripada rekaan kami adalah abaya untuk dipakai dengan palazo. Ia semuanya tentang elegan,” katanya bakal tampil dengan 20 jenis rekaan.

Sebagai permulaannya, harga yang ditawarkan tidak melebihi RM350 dan Siti Nur Fatimah menyasarkan koleksi berkenaan mampu menembusi pasaran Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain