PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz Suip mengakui agak tertekan untuk mencari karya terbaik bagi mengembalikan semula namanya sebaris dengan penyanyi lelaki popular tanah air. Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Suip, 26, berkata, dia bimbang pemilihan lagu untuk album baharunya gagal mendapat perhatian pendengar seperti mana lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini. "Dua tahun menyepi saya akui agak risau untuk muncul dengan single dan album baharu akhir tahun ini. "Tipulah kalau saya tidak tertekan untuk mencari lagu terbaik, namun saya ambil perkara itu dari sudut positif dan membakar semangat," ujarnya kepada mStar Online. Hafiz berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album yang memuatkan tujuh buah lagu baharu. Katanya, dia juga kagum dengan kemunculan penyanyi-penyanyi baharu yang mempunyai lagu-lagu mudah mendapat perhatian pendengar. Tambah Hafiz, strategi promosi yang digunakan untuk lagu-lagu baharu sekarang lebih praktikal dan mudah untuk didengar. "Mereka bijak dari segi promosi, tidak perlu keluar bajet promosi kerana hanya guna Youtube sahaja terus kepada pendengar. "Saya sendiri terkejul lihat jumlah tontonan mereka lebih sejuta tontonan hanya dua minggu sahaja," ujarnya. Bagaimanapun, Hafiz berkata, sebagai seorang artis dia sudah bersedia untuk melalui proses kitaran yang sudah menjadi lumrah. "Sebagai artis kita akan lalui proses yang sama berada di atas dan di bawah. Fokus saya sekarang ialah untuk mengembalikan semua nama saya seperti dahulu," ujarnya.