suria

Ifa Raziah Diundang Jadi Juri Program Realiti Indonesia

Ifa Raziah bakal menjadi juri prorgam realiti stesen televisyen Indonesia. Foto LOW BOON TAT

KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut Ifa Raziah tidak menyangka dia menerima tawaran untuk bertindak sebagai pengkritik tetap program realiti popular Indonesia iaitu D'Academy Asia musim kedua.

Ifa, 41, berkata, dia menerima tawaran tersebut daripada penerbit program berkenaan iaitu Ekin Gabriel menerusi satu panggilan telefon baru-baru ini.

"Alhamdulillah saya tidak sangka pertemuan secara kebetulan dengan Pak Ekin Gabriel pada majlis rumah terbuka Persatuan Bintang Dangdut Malaysia pada Ogos lalu membuka rezeki kepada saya.

Ifa Raziah.

"Ketika itu saya pelik juga Pak Ekin Gabriel merakam video saya dan beberapa penyanyi dangdut lain pada majlis itu rupa-rupanya ia satu uji bakat bagi memilih pengkritik tetap untuk mewakili Malaysia pada pertandingan itu," katanya kepada mStar Online.

Ifa ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Terus Terang di sini, Khamis.

Lagu ciptaan DJ Fuzz itu turut menampilkan kumpulan Lawa Nie Geng.

Dalam pada itu, Ifa berkata, dia juga berterima kasih kepada komposer terkenal Pak Ngah dan penyanyi dangdut Singapura, Rosalina Musa yang bertanggungjawab mencadangkan namanya kepada pihak produksi program itu.

Katanya, peluang itu bukan sahaja memberi penghormatan kepada artis dangdut Malaysia tetapi sebagai wakil Bintang.

Tambahnya, D'Academy Asia bakal bersiaran bermula Oktober depan dan penyanyi Mas Idayu juga turut sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai pengkritik tetap.

"Insya-Allah saya akan berada di Jakarta sehingga selesai program itu yang dijangka Januari tahun depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ifa berkata, sebelum tampil dengan Terus Terang dia terlebih dahulu membuat kajian tentang jenis lagu yang digemari pendengar masa kini.

Kata Ifa, dia menyerahkan seratus peratus kepada DJ Fuzz dalam mencipta arah tuju lagu berkenaan kerana yakin komposer itu mampu menghasilkan lagu yang digemari pendengar.

"Ketika bertemu DJ Fuzz dia memberitahu tidak pandai mencipta lagu dangdut tetapi saya beri kebebasan dan kepercayaan kepadanya untuk mencipta lagu untuk saya.

"Alhamdulillah dia tampil dengan lagu yang cukup sesuai dan kena dengan saya," katanya.

Ifa Raziah

Artikel Sebelum

Artikel Lain