PETALING JAYA: Program terbaharu terbitan Astro iaitu Ceria I-Star bakal mengangkat bakat Islamik sebagai tarikan utama dalam usaha mengenengahkan bakat cilik di negara ini. Penolong Naib Presiden Gen Next Studio, Mohd Irwan Abdul Rauf berkata, Ceria I-Star mahu mengangkat mesej Islam dalam cara menarik dan santai dalam menarik minat anak-anak di rumah mendalami konsep agama Islam yang mudah dan indah. "Kejayaan beberapa program kami sebelum ini meyakinkan kami untuk tampil dengan sebuah rancangan yang lebih segar, menggunakan format pencarian bakat yang serupa, namun mengangkat kandungan Islamik ke mata dunia. "Melalui Ceria I-Star, kami mahu menjadikan dakwah satu medium yang lebih menarik menerusi kepelbagaian bakat dan kelebihan yang mereka ada. "Keunikan dan keistimewaan setiap peserta ini sangat mengagumkan dan Ceria I-Star bertindak sebagai platform untuk mereka menonjolkan bakat masing-masing," katanya. Ceria I-Star akan disiarkan bermula 14 Oktober ini, setiap Jumaat pukul 9.00 malam di Astro Ceria (611) dan Maya HD (135). Program itu bakal menampilkan 10 peserta pelbagai bakat dan aksi berbeza dalam menyampaikan kandungan Islamiah menerusi medium komersial dan di atas talian. Dalam pada itu, Mohd Irwan berkata, peserta diberi kebebasan mempamerkan apa sahaja bakat yang mereka dipentas Ceria I-Star. Katanya, pihaknya mahu melahirkan bakat yang boleh diangkat sebagai ikon kandungan Islamik kanak-kanak seterusnya menarik minat golongan muda ini untuk mendekati agama Islam dengan lebih dekat lagi. "Dari pendakwah muda sehinggalah kepada penyanyi lagu-lagu ketuhanan sehinggalah ‘choral speaking’ dalam Bahasa Arab, kami terbuka terhadap apa sahaja bakat mereka tetapi dalam bentuk Islamik," ujarnya. Sementara itu, Mohd Irwan berkata, lebih 500 peserta telah hadir ke sesi ujibakat dan sambutan diterima amat menggalakkan sehinggakan juri serta pihak produksi menghadapi kesukaran menyenarai pendek peserta layak bersaing di pentas Ceria I-Star. "Seramai 10 orang peserta yang memiliki kredibiliti dan keistimewaan tersendiri telah berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya termasuklah dua peserta dari negara jiran, Indonesia dan Brunei yang berpotensi diketengahkan. "Besar harapan kami agar Ceria I-Star dapat membantu anak-anak di rumah mendalami agama Islam dengan lebih dekat lagi di samping melahirkan pencetus ummah cilik yang mampu menjadi ‘role model’ kepada anak-anak kita di luar sana," katanya. Pendakwah Ustaz Zul bertindak selaku penasihat Ceria I-Star di mana beliau akan memastikan kandungan baik dari segi persembahan juga keseluruan pelaksanaan mengikut landasan agama yang betul manakala Nabil Ahmad diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara ditemani Ustaz Yeop selaku pengacara bersama. Manakala Imam Muda Asyraf dan pakar motivasi, Amin Idris dipilih menduduki kerusi Juri Tetap sambil ditemani seorang lagi selebriti jemputan sebagai juri undangan pada setiap minggu. Ceria I-Star akan bersiaran selama enam episod beserta episod pengenalan di mana kesemua 10 peserta perlu bersaing dan menghadapi penyingkiran di akhir episod. Juara Ceria I-Star bakal membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM 15,000 beserta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM 10,000 beserta trofi. Tempat ketiga bakal meraih wang tunai RM 5,000 dan juga trofi manakala pemenang tempat keempat pula akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 1,000 beserta trofi.