PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Faizal Tahir berharap misi kembara kemanusian yang dijalankan di Acheh, Indonesia baru-baru ini dapat menjadi platform persaudaraan dalam meneruskan usaha menyalurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan. Faizal berkata, sebagai saudara seagama masyarakat sewajarnya memberi lebih perhatian terhadap keperitan dialami golongan tersebut bukan sahaja menerusi sumbangan kewangan tetapi juga mendoakan kesejahteraan mereka. “Misi Kembara Kemanusiaan yang dijalankan ini bukan sahaja menjadi platform persaudaraan dan berkongsi kegembiraan malah turut membawa bersama misi bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Faizal beramah mesra dengan kanak-kanak di Bandar Acheh. "Sebagai saudara seagama kita sewajarnya mengambil peduli dan membantu samada melalui sumbangan atau setidaknya kita sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka,” katanya. Faizal bersama 33 peserta sebelum ini telah mengadakan program Kembara Kemanusian Bumi Banda Acheh. Kembara Kemanusiaan anjuran Usrah Billionaire dengan kerjasama iamFaithmen dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Aceh itu dalam misinya membantu anak yatim dan golongan yang memerlukan akibat kejadian tsunami 12 tahun lalu. Dalam pada itu, Faizal berkata, penuntut Malaysia yang berada di Banda Acheh juga diharap dapat memainkan peranan dalam memupuk kesedaran kepada masyarakat agar dapat memupuk nilai kemanusiaan dan sikap saling membantu. "Saya berharap pelajar Malaysia yang berada di Banda Aceh menjadi mahasiswa yang mampu berbakti, baik dalam program seperti ini mahupun dalam pelajaran. Faizal turut mengadakan persembahan. "Usaha seperti ini perlu diteruskan bagi mereka yang berkemampuan untuk menyalurkan bantuan dalam bentuk apapun kerana islam itu bersaudara selain cuba memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat," katanya. Sementara itu, Faizal berkata, pada misi berkenaan mereka telah melawat beberapa kawasan bencana termasuk rumah anak yatim, tempat bersejarah kesan tinggalan tsunami yang mengorbankan ratusan ribu penduduk. “Meskipun ia sudah berlalu hampir 12 tahun, namun kesannya masih lagi terasa hingga ke hari ini,” menurut salah seorang peserta kembara kemanusiaan ini," ujarnya.