PETALING JAYA: Gosip kononnya pelakon Faye Kusairi dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan bekas suami penyanyi Elly Mazlein terjawab apabila pelakon wanita itu akhirnya mengakui teka-teki berkenaan. Namun, Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 29, berkata, hubungan tersebut dijalinkan selepas Elly Mazlein dan suaminya iaitu pengarah drama Azmi Hatta bercerai. "Saya mengakui berkawan rapat dengan Azmi tetapi ia berlaku sejak Disember tahun lalu iaitu kira-kira dua bulan selepas mereka bercerai. Saya menafikan menjadi punca perceraian mereka. "Ketika perceraian mereka saya sedang bercinta dengan orang lain dan selepas saya putus cinta barulah saya kenal Azmi. Itu pun selepas saya meminta Azmi menunjukkan bukti perceraiannya. "Saya tidak akan rapat dengan dia jika saya tahu dia masih suami orang," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu. Faye mendedahkan perkara itu selepas tidak tahan dengan tuduhan kononnya dia menjadi punca perceraian Elly Mazlein dengan pemuda tersebut. Azmi dan Elly hercerai pada 15 Oktober 2015 di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, dekat sini iaitu kira-kira 11 bulan berumah tangga. Pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan pada 9 Mac lalu. Azmi dan Elly berpisah pada Oktober 2015. Dalam pada itu Faye yang dikenali menerusi drama Istiharah Cinta tidak mahu mengulas kononnya dia bersikap dingin dengan Elly sehingga dikatakan sering berperang di laman sosial Instagram. "Saya malas hendak komen apa tujuan dia (Elly) yang kerap kali 'menyerang' saya. Saya juga tidak ambil tahu atau terasa hati dengan tindakan dia. "Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada kami itu biarlah kami dan orang-orang sekeliling sahaja yang lebih mengetahuinya," ujar Faye. Selain itu, ditanya tentang perancangan mendirikan rumah tangga, Faye berkata, dia masih belum memikirkan perkara itu disebabkan sering gagal dalam bercinta. Sebelum ini saya sering gagal bercinta dan tak jadi kahwin, ia membuatkan saya agak takut untuk terlalu merancang. "Insya-Allah, kalau ada jodoh kami adalah, namun ia bukan dalam masa terdekat ini," ujarnya. Bagaimanapun, Faye berkata, dia sudah mengenali ahli keluarga Azmi dan turut rapat dengan dua orang anak daripada perkahwinan pertama pemuda itu.