suria

Siti Sarah Hadapi Masalah Suara Selepas Beranak Tiga

Siti Sarah Raisuddin

KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Sarah memberitahu dek kerana terlalu rindukan bidang nyanyian setelah enam tahun menyepi, dia mencabar diri menyertai program Gegar Vaganza musim ketiga biarpun mengalami masalah suara selepas melahirkan anak.

Sarah atau nama sebenarnya Siti Sarah Raissuddin, 32, berkata, sehingga hari ini dia belum mempunyai keyakinan untuk kembali serius menyanyi apalagi setelah melahirkan tiga cahaya mata.

“Jika diikutkan sudah lama saya nak kembali aktif menyanyi, namun sejak melahirkan anak pertama sehinggalah anak ketiga, saya mengalami masalah suara yang membuatkan saya kurang yakin nak menyanyi sepertimana waktu bujang dahulu.

“Apa-apa pun saya anggap ini satu cabaran kerana ia merupakan platform terbaik untuk saya kembali mencipta nama biarpun pada hakikatnya saya rasa cukup gementar,” katanya kepada mStar Online.

Sarah ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan 12 peserta rancangan itu bagi musim ketiga di LOL@ Live House Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Siti Sarah.
Selain Siti Sarah, artis lain yang turut menjayakan Gegar Vaganza pada musim ini ialah Intan Sarafina, Zur Eda, Nora, Ameng (Spring), Zarul (Umbrella), G-Mie (Screen), Shidi (Data), Razis Ismail, Rem, Nora, Azaharina dan Elly Mazlein.

Gegar Vaganza 3 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Musa ini akan bersiaran secara langsung selama  lapan minggu bermula 16 Oktober ini, pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan di Ria HD (123).

Dalam pada itu kata Sarah, penyertaannya dalam program Gegar Vaganza kali ini seperti membuka satu ruang baru dalam kerjaya nyanyianya setelah bertukar status sebagai seorang isteri dan ibu.

“Ia boleh saya ibaratkan seperti sedang membuka sebuah pintu baru, membentuk semula skill nyanyian yang sudah lama hilang apatah lagi komitmen saya makin bertambah hari ini,” katanya.

Tambahnya lagi, pembabitan dia dalam Gegar Vaganza 3 ini turut mendapat sokongan penuh suaminya iaitu pelawak Shuib (Sepahtu).
 
Di sisi lain, menjawab dakwaan mengatakan dirinya antara yang disebut-sebut bakal menjadi peserta kegemaran penonton, pelantun lagu Kesetiaan ini mengakui perkara itu sedkit-sebanyak memberi satu tekanan buat dirinya.

“Alhamdulillah... jika benar dakwaan itu ia umpama satu semangat buat saya tetapi dari satu sudut, apabila orang mengharap sesuatu yang lebih dari kita, ia memberi tekanan tersendiri  buat saya dan apa yang boleh saya katakan, saya akan beri yang terbaik,” katanya.

Berkongsi sisi kehidupan pula, selain sibuk menguruskan perniagaan produk kuruskan badan MonstaLab,  masanya banyak difokuskan kepada keluarga selain banyak melakukan senaman ringan di rumah nagi mendapatkan stamina untuk kembali menyanyi.

Juara Gegar Vaganza musim ketiga ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara.

Manakala tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000 dan RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi dan hadiah.
Siti Sarah Raisuddin

Artikel Lain