suria

Intan Sarafina Lepas Gian Menyanyi Di Bilik Air Lapan Tahun

Intan Sarafina antara 12 perserta program Gegar Vaganza 3. Foto AZHAR ARIF

KUALA LUMPUR: Penyanyi Intan Sarafina sering menjadikan bilik air sebagai tempat untuk melepaskan gian menyanyi setelah lapan tahun meninggalkan dunia seni itu.

Intan atau nama sebenarnya Intan Sarafina Ungku Yahya, 35, berkata, perkara itu berlaku secara spontan setiap kali dia masuk ke bilik air dan mempercayai, langkah itu berjaya mengekalkan kemampuan vokalnya hari ini.

“Kalau nak bercerita tentang rahsia penjagaan suara tak ada sebenarnya saya sering melepaskan gian menyanyi ketika di bilik air.

"Saya rasa ia menjadi faktor kenapa saya boleh pertahankan mutu vokal biarpun sudah lapan tahun tidak aktif menyanyi,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu pelantun lagu Duhai Malam ini berkata, selama ini dia banyak menghabiskan waktu bersama keluarga selain turut menyertai beberapa aktiviti larian maraton dalam usaha menguruskan badan.

Kata Intan, sebelum mendapat berat badan yang ideal seperti sekarang dia pernah mengalami masalah kegemukan terutamanya setelah melahirkan tiga anak.

Dalam perkembangan lain, Intan mengakui timbul sedikit perasaan risau untuk berhadapan dengan komen-komen juri selepas dia ditawarkan menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga bermula 16 Oktober ini.

“Saya tahu bila menyertai program Gegar Vaganza, kami bakal berhadapan dengan kritikan dan komen-komen pedas pihak juri dan apa yang paling saya risaukan air mata saya gugur di pentas kerana saya seorang yang mudah tersentuh,” katanya.

Dalam pada itu kata Intan, dia turut mempunyai darah gemuruh setelah sekian lama tidak menyanyi di khalayak selain berharap agar dia dapat mengatasi masalah itu sebelum bermulanya pertandingan berkenaan.

“Kekuatan saya sekarang adalah suami, keluarga dan anak-anak dan saya harap saya mampu memberikan persembahan terbaik pada setiap minggu seterusnya mampu mara ke peringkat akhir,” katanya.

Bercerita mengenai produk seninya, Intan dalam persiapan mengeluarkan single terbaru genre balada ciptaan Tam (Spider) berjudul Aku Rindu namun terpaksa menghentikan dahulu usaha itu untuk memberi fokus pada  Gegar Vaganza 3.

“Saya tidak mahu merakam lagu yang hanya ikut trend semasa tetapi biarlah lagu itu dekat dengan jiwa saya dan saya boleh rasakan 'feel' ketika menyanyikannya, itu yang saya tekankan,” ujarnya.
Intan Sarafina

Artikel Berikut

Artikel Lain