suria

Tidak Terkejut Disaman, Search Akan Pertahankan Diri

Kumpulan Search dianggotai oleh Kid (dari kiri), Nordin, Amy dan Nassir.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Amy (Search) tidak terkejut apabila bekas penganjur 'Konsert Search 35 Tahun' iaitu AF Jets Sdn Bhd memfailkan saman kepada empat ahli kumpulan rock berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat atas pembatalan konsert mereka.

Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, 58, berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peguamnya, Yusmadi Yusoff namun tidak dapat mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"Saya sebenarnya baru sahaja dimaklumkan mengenai perkara itu sebentar tadi tetapi tidak terkejut biarpun sebelum ini isu berkenaan dilihat senyap.

"Bagaimanapun saya masih belum mendapat butiran lanjut mengenai kes berkenaan memandangkan peguam saya kini berada di luar negara. Jadi saya tidak mengulas lanjut," katanya kepada mStar Online.

Amy ditemui pada sidang media teater muzikal Mak Cun D'Walei di Istana Budaya, di sini pada Jumaat.

Terdahulu, AF Jets Sdn Bd selaku plaintif memfailkan tuntutan itu menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates ke atas semua defendan termasuklah Amy sendiri, Noordin Mohd Taib, Hamzah Mohd Taib (Kid) dan Nasir Daud.

Dalam tuntutan yang difailkan, syarikat itu menuntut ganti khas ke atas perbelanjaan yang sudah dikeluarkan untuk penganjuran konsert berkenaan sebanyak RM494,079.71 serta ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi pengajaran dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

AFJets Sdn Bhd juga menuntut perintah injuksi dikeluarkan bagi menghalang semua defendan, pekerja atau ejennya daripada mengeluarkan dan menerbitkan sama ada secara maya, lisan atau bercetak sebarang kenyataan memburukkan serta memfitnah plaintif.

Dalam pada itu, Amy berkata, pihak AF Jets Sdn Bhd berhak meneruskan saman tersebut namun Search tetap akan mempertahankan diri.

Konsert Search 35 tahun sepatutnya diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 9 April lalu bagaimanapun ditunda kepada 30 Ogos di Litar Antarabangsa Sepang.

Amy, Search

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain