suria

Najwa Mahiaddin Belum Sedia Tampil Album Berbahasa Malaysia

Najwa mendapat dua pencalonan dalam AIM22. -foto LOW BOON TAN/The Star

KUALA LUMPUR: Penyanyi Najwa Mahiaddin memberitahu masih belum bersedia untuk tampil dengan sebuah album penuh dalam bahasa Malaysia.

Najwa, 31, berkata, dia kurang yakin untuk berbuat demikian kerana merasakan penulisannya dalam bahasa itu belum cukup baik.

"Seperti mana kita tahu bahasa Malaysia itu penuh dengan kosa katanya dan ia cukup indah jika seorang penulis itu bijak menyusun ayat untuk dijadikan lirik.

"Jujurnya saya belum sampai ke tahap itu lagi dan sebab itu saya kurang yakin hendak tampil dengan album berbahasa Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Najwa ditemui pada majlis pengumuman calon lima terbaik Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) di sini, Khamis.

Najwa bakal tampil dengan lagu duet bersama Imran Ajmain dalam masa terdekat.
Penyanyi lagu Got To Go itu mendapat dua pencalonan iaitu menerusi kategori iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Guilty Room dan Persembahan Vokal Terbaik Duo/Berkumpulan Di Dalam Lagu (After The Rain).

Dalam pada itu, Najwa berkata, bagi mengasah penulisannya dalam bahasa Malaysia dia akan menghasilkan single terlebih dahulu.

Malah katanya, dia bakal tampil dengan lagu duet bersama Imran Ajmain dalam masa terdekat ini.

"Saya dan Imran sudah berkenalan sejak dahulu dan idea menghasilkan lagu duet ini pun berlaku secara tidak sengaja sebenarnya.

"Ia lebih kepada projek bersama sahabat dan ketika itu tidak terfikir untuk melancarkannya sebagai single," ujarnya.

Malah katanya dia turut mencipta sebuah lagu untuk Anuar Zain berjudul Kembali menerusi album terbaharu penyanyi berkenaan.

Kata Najwa, Anuar menelefonnya meminta menghasilkan sebuah lagu dan dia bersetuju kerana berbesar hati dapat menyumbangkan karya untuk penyanyi berkenaan.

"Kami bertemu untuk membincangkan tentang lagu berkenaan tetapi Anuar memberi saya kebebasan untuk mencorak lagu itu mengikut citarasa saya.

"Saya sebenarnya tak sangka lagu itu dimasukkan dalam album itu dan hanya mengetahuinya pada hari pelancaran baru-baru ini," jelasnya.

Bercakap mengenai pencalonan di AIM22, Najwa berkata, dia terkejut dengan berita berkenaan dan berbesar hati dapat dicalonkan bersama nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

"Jika menang Alhamdulillah ia rezeki saya tetapi dapat dicalonkan bersama nama besar pun sudah meninggalkan kenangan manis untul saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najwa berkata, dia kini sedang dalam proses menyiapkan album terbaharunya yang dijangka berada di pasaran tahun hadapan.

Najwa Mahiaddin, AIM22

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain