suria

Artis Kelantan Bangga Sultan Muhammad V Dilantik Agong

Artis kelahiran Kelantan iaitu Datuk Seri Shah Rezza (dari kiri), Izzue Islam dan Fizo Omar.

PETALING JAYA: Pelantikan Sultan Kelantan iaitu Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 memberi makna buat artis-artis kelahiran negeri itu.

Kebanyakan mereka berpendapat, Sultan Muhammad V ialah pemerintah yang berjiwa rakyat, merendah diri dan dihormati oleh rakyat negeri berkenaan.

Pelakon Fizo Omar berkata, sebagai artis yang berasal dari Kelantan, perlantikan itu memabawa makna besar buat dirinya dan rakyat negeri itu kerana keperibadian yang ditonjolkan baginda.

Kata Fizo, dia berharap baginda dapat membawa perubahan dan kebaikan daripada pelbagai sudut agar negara Malaysia akan terus maju ke hadapan.

Sultan Muhammad V dianggap sebagai sultan yang paling sederhana kerana kerap mengetepikan protokol.

"Tahniah saya ucapakan kepada Sultan Muhammad V atas pelantikan baginda sebagai Yang Dipertuan Agong yang baharu dan sebagai anak jati Kelantan saya rasa berbangga dengan berita berkenaan.

"Diharap pelantikan baginda itu dapat membawa lebih banyak kebaikan dan perubahan buat semua rakyat Malaysia," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

Sementara itu, aktor Izzue Islam pula berkata, pemilihan Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong itu menggembirakannnya kerana baginda seorang Sultan yang merendah diri dan disayangi rakyat Kelantan.

"Saya teringat peristiwa di mana saya pernah bertemu dengan baginda dalam satu majlis tetapi dari jauh sahaja. Saya kagum dengan keperibadian baginda yang cukup mesra dengan rakyat dan merendah diri.

Misha Omar.

"Malah ketika itu baginda tidak diiringi oleh pengawal peribadi dan kelihatan sangat selesa bersama rakyat, seolah-olah baginda orang biasa," katanya.

Tambah Izzue, dia berharap suatu hari nanti dapat bertemu dengan Sultan Muhammad V dan berhajat untuk bersalaman dengan baginda.

Dalam pada itu pelakon era 1980-an, Datuk Seri Shah Rezza berkata, Sultan Muhammad V mempunyai keperibadian yang tinggi kerana berpegang kuat kepada agama Islam.

Katanya baginda juga sangat peramah dan sering menyapa kenalannya jika bertemu di majlis-majlis dihadiri baginda

"Saya pernah berpeluang bertemu dengannya beberapa kali dan saya terharu apabila baginda tidak pernah gagal datang menyapa dan mengingati kenalannya dan sikap peramah itu membuatkan Sultan Muhammad V digelar raja berjiwa rakyat.

"Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya merafak sembah atas pelantikan baginda sebagai Yang Dipertuan Agong dan berbangga dengan pelantikan itu," katanya.

Danny X-Factor.

Penyanyi Misha Omar pula berkata, pemilihan Sultan Muhammad V itu merupakan kebanggaan buat seluruh rakyat Kelantan dan berharap baginda mampu memikul tugas dengan baik.

"Sebagai rakyat Kelantan saya bangga dengan pemilihan baginda dan tiada apa yang saya harapkan selain Sultan Muhammad V diberikan kesihatan yang baik dan dilindungi Allah sentiasa," katanya.

Pelakon Danny (X-Factor) pula berkata, baginda seorang yang baik, peramah dan sering kali mengetepikan protokol sebagai seorang sultan.

Ujar Danny, pengalaman berharga bertemu sultannya itu kira-kira tiga tahun lalu di sebuah restoran terkenal di pusat beli-belah Pavillion.

Pada ketika itu kata Danny, dia sedang duduk di sebuah meja menikmati hidangan dan secara tiba-tiba disapa oleh seseorang dan individu itu ialah Sultan Muhammad V.

"Semasa tu saya tak perasan ada VIP dalam restoran itu sehinggalah semasa saya duduk, Sultan Muhammad V datang di meja saya sambil bertanya; awak ni Danny ya? Awak kawan dengan adik saya Tengku Amalin kan," cerita Danny.

Izzue Islam.

Ujarnya, selepas itu mereka duduk untuk minum di meja yang sama dan atas tanda hormat, Danny bangun lalu menundukkan kepala kepada baginda.

Terdahulu, mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada Jumaat memilih Sultan Kelantan iaitu Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkuatkuasa 13 Disember depan.

Sultan Muhammad V, sebelum ini Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak 12 Disember 2011.

Baginda berusia 47 tahun dan diputerakan pada 6 Okt 1969.

Pendidikan awal baginda ialah di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Artikel Berikut

Artikel Lain