PETALING JAYA: Penyanyi rock terkenal Amy Search memberitahu dia menerima tawaran berlakon dalam pementasan teater muzikal Mak Cun D'Walei kerana mengagumi bakat lakonan anaknya, aktres Nabila Huda. Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 58, berkata, walaupun ini adalah kali pertama dia terlibat dalam sebuah pementasan teater namun dia ingin mencabar dirinya dalam menjadi sebaik anaknya itu. "Pada awalnya apabila mendapat tawaran ini saya tertanya-tanya juga adakah saya boleh melakukannya kerana tidak pernah berlakon teater. Amy mahu mencabar diri jadi sebaik anaknya, Nabila Huda dipentas teater. "Tetapi apabila mengenangkan anak saya yang menyerlah dalam bidang lakonan dan teater saya ingin jadi sepertinya. "Menerusi percubaan pertama ini saya ingin lihat sama ada boleh jadi sebaik Nabila," katanya kepada mStar Online. Teater muzikal Mak Cun D'Walei arahan dan lakonan Erma Fatima itu turut membariskan pelakon seperti Datuk Rahim Razali, Datin Seri Umie Aida, Abam, Balkish Semundur Khan, Fatiya Latiff, Nadia Brian dan aktor dari Pakistan, Saim Ali. Ia bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 4 hingga 13 November depan. Dalam pada itu, Amy berkata, antara faktor lain dia menerima tawaran itu kerana kepercayaannya terhadap kredibiliti Erma selaku pengarah yang dilihat mampu membentuknya sebagai pelakon teater. Malah kata Amy, sebagai kejutan pada pementasan itu nanti dia dan Erma akan berduet menerusi dua buah lagunya iaitu Kerja Gila dan Aku Dah Bosan. Barisan pelakon Mak Cun D'Walei yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada November depan. "Kali terakhir saya berlakon pada tahun 1990 menerusi filem Isabella dan teknik lakonan itu sudah 'haus' selepas 26 tahun. "Bagaimanapun dengan kredibiliti Erma selaku pengarah saya yakin dia dapat membimbing saya dalam menjayakan teater muzikal itu nanti," jelasnya. Bercakap mengenai teater itu, Amy berkata, dia berasa gementar dengan penerimaan penonton terhadap lakonannya nanti namun optimis dalam menjayakan pementasan tersebut. "Setakat ini kami masih belum memulakan latihan tetapi sudah membaca skrip. "Perasaan gementar itu memang ada kerana ini adalah lakonan teater pertama saya, Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik," katanya. Sementara itu, Amy berkata, kemunculannya itu bukan bererti dia akan aktif berlakon selepas ini sebaliknya dia sekadar mencuba sesuatu baharu dalam kariernya. Tiket bagi menyaksikan teater muzikal Mak Cun D'Walei dijual pada harga RM36, RM76, RM86, RM106, RM156 dan RM256 dan ia boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com bermula 25 Oktober ini.