suria

Pengakuan Kahwin Mia Ahmad Elak Dikaitkan Dengan Saharul Ridzwan

Mia mengakui berasa lega apabila mendedahkan dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan penjaga gol pasukan bola sepak, Johor Darul Takzim (JDT). Foto Ihsan Instagram @mia.ahm4d
KUALA LUMPUR: Pelakon Mia Ahmad berharap tiada mana-mana pihak akan mengaitkannya dengan aktor Saharul Ridzwan selepas dia membuat pengakuan akan berkahwin dengan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Mia atau Shamiha Ahmad Baderi, 28, berkata, dia tidak mahu kisah lama yang mengaitkan dia dan Saharul akan terus menjadi bualan kerana aktor itu sudah pun berumah tangga.

"Sedikit sebanyak saya berasa lega apabila mengaku sedang bercinta dengan Izham kerana sebelum ini orang terus mengaitkan saya dengan Saharul.

"Tetapi apa yang saya harapkan semua pihak tidak lagi mengaitkan saya dengan Saharul kerana saya sudah ada seseorang dan Saharul pun sudah berkahwin," katanya kepada mStar Online.

Mia ditemui ketika menghadiri sidang media memperkenalkan hos Anugerah Skrin 2016 (ASK2016) yang diadakan Hotel Renaissance di sini, Rabu.

Mohd Izham cinta hati Mia. Foto Ihsan Instagram @mohdizhamtarmiziroslan

Terdahulu, Mia mengesahkan Mohd Izham Tarmizi, 25, ialah teman lelakinya selain memberitahu sudah memikirkan hasrat untuk berumah tangga.

Bagaimanapun Mia berkata, buat masa ini masih belum ada tarikh ditetapkan bagi tujuan berkenaan.

Dalam pada itu, ujar Mia, perbezaan usia iaitu tiga tahun dengan Mohd Izham bukan satu masalah untuk menerima lelaki berkenaan sebagai teman lelakinya.

Sebaliknya kata Mia, sikap matang pemuda itu memikat hatinya selain menyifatkan Mohd Izham sebagai seorang yang memahami.

"Saya senang dengannya walaupun dia tiga tahun lebih muda daripada saya tetapi itu bukan penghalang kerana sikapnya sangat matang.

Saharul Ridzwan.

"Pada saya usia itu hanya angka dan sepanjang setahun mengenalinya saya dapati dia seorang yang memahami terutamanya karier saya sebagai seorang pelakon," kata Mia.

Sementara itu, Mia tidak merancang untuk meninggalkan bidang seni selepas berkahwin kelak kerana lakonan adalah kariernya.

Malah teman lelakinya juga tidak menghalang dan kami saling memahami tuntutan karier masing-masing.

"Lakonan adalah karier dan minat saya, jadi saya akan teruskan dengan kerjaya saya biarpun sudah berkahwin kelak tambahan pula Izham juga tidak menghalang," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Mia kini  sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Jejak Karmila yang turut dibintangi oleh Ruhainies dan Fauziah Ahmad Daud.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain