suria

Razis Ismail Dapat Petunjuk Dalam Mimpi Tersingkir Gegar Vaganza 3

Razis Ismail menjadi peserta pertama tersingkir daripada program Gegar Vaganza 3 pada malam Ahad.
SHAH ALAM: Penyanyi Razis Ismail tidak berasa ralat apabila menjadi peserta pertama tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) pada malam Ahad kerana telah menyangka akan perkara itu.

Razis, 56, berkata, sehari sebelum konsert berlangsung dia mendapat alamat dalam mimpi akan terkeluar dan perkara itu turut diceritakan kepada juri tetap program berkenaan Datuk Ramli MS.

"Jujurnya saya langsung tidak berasa sedih apabila diumumkan sebagai peserta tersingkir kerana sebelum itu saya mendapat alamat dalam mimpi saya.

"Mimpi itu hadir selepas saya minta petunjuk daripada Allah dan saya juga ada memberitahu kepada Ramli tentang perkara itu.

"Alhamdulillah tiada apa yang ingin saya kesalkan kerana setakat ini sahaja rezeki saya di sini," katanya kepada mStar Online.

Pada pertandingan minggu kedua GV3 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, Razis menyampaikan lagu nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah berjudul Bunga Pujaan.

Juara mingguan pula milik Zarul yang menyanyikan lagu Untukmu Selamanya (Visa), Siti Sarah ditempat kedua dan Azharina ketiga.

Razis tidak kecewa hanya sempat bertahan selama dua minggu dalam GV3.

Dalam pada itu, Razis mengakui kelemahan vokalnya dan perasaan gemuruh ketika mengadakan persembahan menyebabkan dia gagal memberikan persembahan baik.

"Saya sudah berusia 56 tahun dan vokal pun sudah tidak seperti dahulu ditambah perasaan gemuruh kerana memikirkan ia adalah pertandingan dan bukannya persembahan pentas biasa.

"Sebelas lagi peserta juga jauh lebih baik daripada saya jadi agak sukar untuk bersaing dengan mereka," katanya.

Sementara itu, Razis berkata, dia tidak pernah menyimpan angan-angan untuk bergelar juara ketika menyertai GV3 sebaliknya hanya mahu generasi baharu mengenali siapa dirinya.

"Walaupun tempoh berada dalam program itu singkat namun saya bersyukur kerana anak muda mula mengenali siapa Razis Ismail.

"Saya bukan hendak jadi juara apatah lagi mencari populariti kerana pada usia sekarang ke mana lagi saya hendak bawa glamour itu," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Razis berkata, dia akan meneruskan karier seninya selepas ini selain ingin menggunakan medium itu sebagai dakwah dalam menggalakkan anak muda ke masjid.

"Insya-Allah dengan perhatian yang diterima menerusi GV3 dapat membantu saya dalam kerja-kerja dakwah selain berhibur.

"Saya berharap dapat menarik lebih banyak anak muda untuk mendekati agama selain ke masjid. Hiburan itu perlu tetapi biar berpada-pada dan seimbang dengan amalan agama," katanya yang sudah menerima pelbagai undangan nyanyian.

Razis Ismail, Gegar Vaganza 3, GV3

Artikel Lain