KUALA LUMPUR: Pelakon Nazrief Nazri mengakui dirinya terganggu dan berasa pelik dengan sikap segelintir peminat tegar pelakon Emma Maembong yang masih menyalahkan dia kerana akrab dengan aktres itu. Nazrief atau nama penuhnya Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 25, berkata, keadaan itu dialaminya sejak dia dan Emma berlakon dalam siri Nasi Minyak Kuah Cinta yang kini ditayangkan di TV3. "Pada mulanya saya okey saja tapi bila lama-kelamaan saya perhatikan kutukan itu berlaku secara berterusan pula. Asalkan saya muat naik gambar dengan Emma saja pasti ada yang hentam saya. "Kononnya mereka tidak suka saya rapat dengan Emma. Tapi sesetengah peminat tegar Emma dan Zizan tidak suka keakraban kami. Padahal kami hanya berlakon bersama dan tidak lebih daripada itu," katanya kepada mStar Online. Nazrief Nazri (tengah) bersama sebahagian daripada peminatnya. Nazrief ditemui pada majlis kejutan sambutan hari lahirnya ke-25 anjuran kelab peminat Nazrief Official Supporter (NOS) dan syarikat pengurusannya, MindOrder Sdn Bhd di Setapak Mall di sini, petang Ahad. Ditanya mengenai kesan situasi itu dengan kekasih Emma iaitu Kamal Adli, Nazrief berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah dengan aktor itu. "Saya dengan Kamal tiada masalah langsung. Mungkin selepas gosip saya dengan Emma keluar beberapa bulan lalu, timbul salah faham juga di pihak Kamal. "Tapi lama-kelamaan Kamal nampak dan faham ia sekadar gosip. Malah, gosip itu juga menguatkan semula hubungan Kamal dan Emma," katanya. Peminat menghadiahkan kek bersempena dengan sambutan hari lahirnya. Sementara itu, Nazrier berkata, kerjaya seninya bakal berkembang ke bidang nyanyian dalam masa terdekat. "InsyaAllah kalau tiada aral saya akan masuk studio untuk rakam lagu pertama saya tidak lama lagi. Saya harap semuanya berjalan lancar dan menjadi. "Nyanyian adalah impian saya dari kecil lagi cuma sebelum ini belum dapat peluang. Jadi apabila ditawarkan oleh syarikat pengurusan untuk cuba menyanyi, saya sangat teruja. "Saya berharap ia menjadi permulaan yang baik untuk saya diterima dalam bidang nyanyian pula. Namun, lakonan tetap berjalan seperti biasa," katanya.