PETALING JAYA: Tiket bagi menyaksikan persembahan Krisdayanti di Istana Budaya pada 24 hingga 26 Februari 2017 sudah dijual kepada umum pada Isnin. Konsert berskala besar tersebut akan melakar sejarah peribadi penyanyi Indonesia itu kerana Krisdayanti akan menyampaikan lebih 25 buah lagu popular sepajang dua dekad sebagai penyanyi. Lebih menarik lagi, konsert solo pertama penyanyi berusia 41 tahun ini juga bakal diiringi sepenuhnya oleh penggiat muzik Malaysia termasuk Aubrey Suwito yang bakal bertindak sebagai pengarah muzik. “Bukan sekadar lokasinya di Istana Budaya yang begitu berprestij dan menjadi impian saya selama ini, malah konsert Krisdayanti Romansa 2017 ini nanti adalah satu sejarah dalam kerjaya nyanyian saya sendiri. "Saya bakal mengadakan persembahan sepanjang tiga malam berturut-turut. Ia adalah sesuatu yang luar biasa dan teramat istimewa khususnya buat peminat muzik saya,” katanya. Antara lagu popular yang bakal disampaikan penyanyi itu ialah Menghitung Hari, Hati Ini Telah Dilukai, Mencintaimu, Aku Wanita Biasa, Cinta dan Pilihlah Aku. Malah, Krisdayanti menerusi konsert yang dibawakan oleh Neo Global Sdn Bhd dan Belbis Sdn Bhd itu akan mengundang beberapa bintang ternama Malaysia untuk memeriahkan tiga malam persembahan eksklusif itu nanti. Justeru kepada peminat yang tidak mahu ketinggalan untuk turut sama menjadi sebahagian daripada sejarah bagi acara tiga malam berturut-turut bersama Krisdayanti di Istana Budaya nanti, bolehlah mendapatkan tiket-tiket dengan melayari www.myticket.asia Peminat Krisdayanti juga boleh mendapatkan tiket di laman Facebook rasmi penganjur di NeoBel Indulgence Series. Harga tiket ialah RM118, RM258, RM358, RM458 dan RM588.