PETALING JAYA: Pelakon baharu Elvina Mohamad terkejut dengan tuduhan mengatakan dirinya dilihat dalam keadaan mabuk di luar sebuah kelab hiburan, baru-baru ini. Elvina atau nama penuhnya Norzalina Mohamad, 21, berkata, dakwaan yang menjadi bualan dan gosip seperti dipaparkan di sebuah akhbar harian itu merupakan tuduhan paling berat diterimanya sejak menyertai bidang seni setahun lalu. "Memanglah saya ini masih muda remaja tapi saya bukan jenis orang yang begitu (pemabuk). Saya tahu halal dan haram malah saya tidak pernah sentuh minuman keras seumur hidup. Elvina. "Jadi apabila dituduh kononnya saya berada dalam keadaan mabuk di luar kelab ia adalah fitnah dan pembohongan paling besar. "Saya berani jawab tuduhan itu kerana ia memang tidak berasas langsung," katanya kepada mStar Online. Elvina mengulas dakwaan seperti disairkan sebuah kolum gosip akhbar harian baru-baru ini kononnya dia dilihat berada dalam keadaan mabuk di luar kelab hiburan. Pelakon yang mula dikenali menerusi siri Mariam Alisa di TV3 berkata, dia tidak menolak kemungkinan tuduhan itu sengaja dicetuskan pihak tertentu bertujuan memburukkan reputasinya. "Saya mula dikenali menerusi watak perempuan bertudung dari kampung dalam siri itu. Jadi tak mustahil ada pihak kurang senang dan iri hati dengan perkembangan kerjaya yang baru bermula ini. "Maka timbullah cerita dan tuduhan mabuk itu supaya orang awam salah sangka dan tidak menyukai saya. Masalahnya benda itu tidak betul pun dan saya bukan begitu," ujarnya. Kata Elvina, dia turut menerima tuduhan itu sebagai cabaran anak seni. "Maklumlah saya masih baharu dan mentah dalam bidang ini jadi mahu tak mahu benda-benda begini memang tidak boleh dielakkan. "Yang penting tuduhan itu tidak benar. Saya bukan jenis perempuan begitu. Setakat keluar dengan kawan-kawan memang ada bila ada masa lapang tapi saya tahu batas pergaulan. "Apatah lagi apabila diri ini semakin dikenali lagilah saya berwaspada selalu. Saya sedar gerak-geri dan perlakuan saya kini jadi perhatian umum," katanya. Terbaharu, Elvina sedang menjalani penggambaran drama bersiri Jojie Gigil arahan Zul Huzaimy.