PETALING JAYA: Filem terbaharu terbitan Les' Copaque dan KRU Studios iaitu Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! dijangka memasuki pasaran Timur Tengah selepas beberapa pengedar menunjukkan minat terhadap karya animasi itu. Pengarah Urusan KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim berkata, beberapa pengedar daripada negara berkenaan menunjukkan minat positif terhadap filem berkenaan dan kini sedang menjalankan perbincangan lanjut bagi tujuan itu. "Setakat ini sudah ada beberapa pengedar daripada negara Timur Tengah yang membuat tempahan dan kami masih menjalankan perbincangan bagi memastikan proses itu berjalan lancar. "Buat masa ini ia akan dilancarkan di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia terlebih dahulu," katanya kepada mStar Online. Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! arahan Erma Fatima dan Ainon Ariff ini menampilkan barisan pelakon seperti Puteri Balqis, Remy Ishak, Sara Ali, Gambit Saifullah dan Asyiela Putri pemilik suara watak animasi popular itu. Ia bakal ditayangkan di pawagam bermula 24 November ini termasuk Singapura dan Brunei. Dalam pada itu, Norman berkata, pihak KRU Studios akan lebih proaktif dalam mendapatkan lebih banyak pengedar daripada luar negara termasuk Eropah dan Amerika Syarikat. Kata Norman lagi, usaha itu sebagai respons kepada saranan pihak kerajaan yang mahu melihat industri perfileman animasi mampu berdaya saing di peringat antarabangsa. "Jika kita mahu produk tempatan berdiri setanding dengan filem di luar negara langkah-langkah proaktif seperti ini perlu dilakukan. "Alhamdulillah sudah ada membuat tempahan tetapi kita perlu lebih giat agar karya ini dapat ditonton lebih ramai dengan mencari pengedar dari seluruh dunia," katanya.