suria

Faizal Perjelas Kulit Album Anatomi Dituduh Iluminati Dan Murtad

Faizal Tahir todak ambil peduli pandangan negatif pihak kurang senang dengan kulit album Anatomi. FOTO-ART CHEN

PUTRAJAYA: Penyanyi Faizal Tahir memperjelaskan kulit album terbaharunya berjudul Anatomi berkaitan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan kehidupannya. 

Faizal Tahir atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 38, berkata, dia juga mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap Allah dan tidak takut dengan tuduhan yang mengaitkan dirinya kepada kepercayaan lain. 

"Sejak kulit album ini keluar banyak tanggapan positif dan negatif saya terima, ada yang kata ia iluminati, freemason dan ada juga yang nampak ia seperti salib dan menuduh saya murtad. 

"Secara dasarnya kulit album Anatomi ini simbolik kepada lagu-lagu dalam album ini dan beberapa benda yang berkaitan dengan kehidupan saya. 

"Saya mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap Allah dan saya tidak takut dengan apa juga persepsi negatif segelintir orang, saya percaya Allah sentiasa memberi bimbingan kepada saya," ujarnya kepada mStar Online

Faizal melancarkan album keempatnya berjudul Anatomi.

Penyanyi lagu Sejati ini menjelaskan kontroversi kulit album baharunya yang menjadi viral di laman sosial sejak ia dikeluarkan minggu lalu. 

Foto tidak berbaju serta beberapa simbol dalam kulit album itu telah menimbulkan tanda tanya netizen yang kurang senang dengan rekaan tersebut.

Faizal ditemui pada majlis pelancaran Album Anatomi yang diadakan di IoI Mall City di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Faizal menjelaskan simbol kuda merupakan lambang tahun kelahirannya, manakala sayap pula berkaitan dengan pasukan bola sepak kegemarannya iaitu Liverpool. 

Tambahnya, wanita berpurdah pula merupakan simbolik rasa hormatnya kepada kaum wanita yang menutup aurat dan gambar kanak-kanak berkepala televisyen pula menunjukkan golongan kanak-kanak kini yang terlalu terdedah dengan internet dan televisyen. 

"Foto saya empat tangan dan kaki serta tidak berbaju pula adalah lambang lukisan Leonardo da Vincci. Ada juga yang mempersoalkan tentang aurat kerana saya tidak berbaju dalam kulit album ini. 

"Bagi saya ramai lagi penyanyi wanita yang kulit album tidak bertudung dan mendedahkan aurat," ujarnya. 


Kulit album yang mencetuskan kontroversi.

Kata Faizal, kulit album rekaan Danny itu mengambil masa selama lapan bulan untuk disiapkan. 

Sementara itu, katanya, lagu-lagu dalam album Anatomi ini juga merupakan rencah mengenai kehidupan dan perhubungan. 

"Album ini merangkumi pelbagai aspek seperti lagu Sejati adalah berkaitan hubungan dengan tuhan, Sayang pula lagu untuk anak-anak saya dan Bukan Yang Pertama untuk isteri saya," ujarnya. 

Anatomi memuatkan tujuh buah lagu termasuk Assalamualaikum, Sayang, Sejati dan Setia. Tiga lagu baharu iaitu Suriram, Menang, Bukan Yang Pertama, dan single bonus iaitu Dirgahayu dan Negaraku

Album ini sudah mula berada dipasaran sejak 4 November lalu.

Artikel Lain