suria

Tersinggung Komen Ramli MS, Elly Mazlein Mahu Tarik Diri Sebelum Diumum Tersingkir

SHAH ALAM: Penyanyi Elly Mazlein memberitahu meluahkan hasrat untuk menarik diri sebelum diumum tersingkir pada program Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA, di sini malam Ahad.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, berkata, keputusan untuk tidak meneruskan perjuangan di program berkenaan dibuat selepas berasa tersinggung dengan komen juri tetap Datuk Ramli MS.

"Secara jujur saya tersinggung dan kecil hati dengan komen Datuk Ramli MS yang menganggap saya hanya mendapat simpati pihak Astro untuk terus berada dalam program ini.

"Sebelum ini saya terima orang luar bercakap tentang itu, tapi bila Tok Ram (Ramli MS) sendiri yang bercakap, dia seperti mengiyakan apa orang cakap sebelum ini, saya sedih sangat," ujarnya kepada mStar Online.

Elly ditemui selepas program konsert Gegar Vaganza 3 minggu keempat yang diadakan di sini, pada malam Ahad.

Persembahan Elly dan Acong tetap memikat hati peminat-peminatnya.

Penyanyi itu menyampaikan lagu Jangan Menangis Sayang berduet bersama penyanyi Acong.

Kata penyanyi yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu, dia nekad tidak meneruskan perjalanan pada program tersebut sekalipun diberi peluang layak ke minggu hadapan.

"Jika layak atau tidak ke minggu depan saya tetap ingin keluar dan tidak mahu terus berada dalam pertandingan ini.

"Saya masuk dalam program ini bukan untuk meraih simpati masyarakat terhadap kehidupan saya. Saya sedih bila perkara itu berlaku ketika bapa saya datang minggu ini semata-mata ingin menyaksikan persembahan saya," ujarnya.

Bagaimanapun, Elly berkata, dia tidak menyimpan sebarang perasaan marah dan dendam kepada juri tetap tersebut.

Ramli MS menjadi juri tetap Gegar Vaganza 3.

Katanya, dia akur keputusan yang diberikan dan berjanji untuk terus menyokong rakan-rakan lain yang masih bersaing di pentas Gegar Vaganza 3.

"Saya reda dan terima keputusan itu dengan lapang dada, tidak apalah saya anggap sebagai tiada rezeki lagi di sini. Biarlah saya fokus kepada lakonan sahaja selepas ini," ujarnya.

Konsert Minggu Keempat Memang Ada Penyingkiran - Pengurus Saluran

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria Emarina Mohd Kamal menafikan status yang dimuat naik pengacara Jihan Muse bahawa tiada sebarang penyingkiran sepatutnya dilakukan pada malam tersebut.

Tambah Emarina, status yang dimuat naik pengacara itu tidak mewakili pihak produksi Gegar Vaganza 3.

"Malam konsert duet ini memang ada penyingkiran seperti  konsert Gegar Vaganza musim-musim sebelum ini.

"Kami akui pihak produksi mendapat makluman daripada Elly untuk menarik diri dan mengikutkan keputusan Elly memang mendapat markah dibawah Siti Sarah. Semua yang berlaku itu mungkin kebetulan," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang kenyataan juri tetap Ramli MS, Emarina berkata, ia sememangnya cara Ramli MS memberikan komen.

"Setaip juri ada cara mereka tersendiri dan kita tahu Ramli MS selalu main cakap lepas apa yang dirasakan betul atau tidak kerana itu memang sudah cara dia, kalau dia cakap berlapik nanti pelik pula.

"Bagi kami di Astro, jika ada yang tersinggung itu perkara biasa dan kita tidak boleh puaskan hati semua pihak," ujarnya. 

Artikel Lain