suria

Peminat Elly Mazlein Bengang, Anggap Ramli MS Tak Profesional

Komen Ramli MS dianggap menjatuhkan semangat Elly Mazlein.

PETALING JAYA: Peminat penyanyi Elly Mazlein menzahirkan rasa kecewa dan simpati terhadap wanita itu yang tersinggung dengan komen juri tetap Datuk Ramli MS pada konsert Gegar Vaganza 3 yang berlangsung pada malam Ahad.

Rata-rata peminat menganggap komen juri tetap itu sebagai tidak profesional dan telah menjatuhkan semangat peserta kegemaran mereka itu untuk meneruskan pertandingan.

Seorang penyokong @hishamammeissa berkata, sejak minggu pertama Ramli MS dilihat tidak berkenan dengan penglibatan penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu berada dalam program berkenaan.

"Kak Elly sanggup terima komen positif dan negatif namun harus betul dengan skop kerja. Jangan komen melibatkan isu peribadi, itu tidak profesional.

"Saya perasan sejak minggu pertama lagi Datuk Ramli tidak berapa berkenan dengan penglibatan Elly Mazlein, komen dia macam fishy sangat," ujarnya.

Manakala, @fizzo_rydafi_official berkata, penyingkiran Elly pada minggu keempat ini membuatkannya tidak mahu menonton program itu lagi.

"Rata-rata semua tengok GV3 sebab Elly Mazlein, bila dia sudah tiada ramai yang tidak berminat untuk tengok termasuk saya," ujarnya.

Peminat meluahkan rasa kecewa dan marah di Instgaram mStar Online sejak malam Ahad.

Netizen memberi pendapat di ruangan komen di foto dan video yang dimuat naik di laman Instgaram @mstaronlineofficial pada malam Ahad.

Foto dan video tersebut menerima lebih 50,000 tontonan dan 200 komen peminat yang tidak berpuas hati terhadap kenyataan Ramli MS sehingga membuatkan penyanyi itu berkecil hati. 

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir netizen menganggap komen yang diberikan oleh Ramli MS sebagai perkara biasa dalam industri hiburan.

Pemilik akaun @s87studioentertaiment berkata, untuk menjadi artis, seseorang itu perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal.

"Dunia hiburan selalu macam ini, kena tegur itu perkara biasa, kalau dalam lakonan pengarah maki hamun semua keluar dari mulut pengarah. Nak jadi artis kena telan semua benda ini," ujarnya.

Terdahulu, Elly Mazlein meluahkan hasrat untuk menarik diri sebelum diumum tersingkir pada program Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA, di sini malam Ahad.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, berkata, dia berasa tersinggung dengan komen juri tetap Ramli MS yang menganggap dia hanya mendapat simpati Astro untuk terus berada dalam program berkenaan.

Dalam pada itu, usaha mStar Online untuk mendapatkan kenyataan Ramli MS berkaitan isu ini masih belum berhasil.

Artikel Lain