suria

Sudah Setahun Azad Jasmin Jadi Pengurus Eira Syazira

Azad Jazmin kini menguruskan karier seni isterinya, Eira Syazira.
PETALING JAYA: Pelakon Azad Jazmin kini memikul tanggungjawab baharu apabila bertindak sebagai pengurus kepada isterinya, Eira Syazira.

Azad atau Azad Jazmin John Louis Jeffri, 40, berkata, dia mula menguruskan karier Eira sejak setahun lalu selepas isterinya itu mendapat peluang mengembangkan kariernya di Indonesia.

"Saya sebenarnya masih berlakon cuma tidak terlalu ke hadapan sahaja sejak kebelakangan ini kerana saya turut sibuk menguruskan karier isteri.

"Kami banyak berulang-alik ke Jakarta selepas Eira mendapat peluang mengembangkan karier dalam bidang nyanyian di sana.

Eira dan Azad bakal menimang cahaya mata kedua pada Januari depan.

"Pada saya lebih baik saya sendiri menguruskan aktiviti seninya kerana ia lebih mudah tambahan Eira perlu sentiasa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta untuk urusan promosi," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Azad berkata, Eira kini bernaung di bawah syarikat dikenali sebagai Positif Arts Entertainment di Indonesia yang turut menguruskan kerjaya artis seperti Wali Band, Ayu Ting Ting, Matta Band dan Kerispatih.

Kata Ezad, Eira juga sudah melancarkan single pertamanya berjudul Masih Ada Jodoh di negara berkenaan dan ia mula mendapat perhatian pendengar.

"Pada saya apabila Eira mendapat pelawaan untuk mengembangkan kariernya di sana ia adalah satu peluang yang tidak harus ditolak.

"Tiada salahnya mencuba dan Alhamdulillah sepanjang setahun nama Eira semakin dikenali malah pihak Positif Arts Entertainment juga banyak melakukan promosi memperkenalkannya," ujarnya.

Bagaimanapun kata Azad, Eira kini sedang dalam tempoh berehat kerana sedang hamil lapan bulan dan dijangka bersalin pada awal Januari depan.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan kariernya, Azad berkata, tawaran lakonan diterimanya masih banyak malah ada beberapa filem lakonannya masih belum ditayangkan di pawagam.

"Saya sebenarnya lebih banyak mendapat tawaran berlakon filem berbanding drama dan sehingga kini sudah lebih daripada 20 filem saya berlakon.

"Terbaharu saya tampil dalam filem Last Kopek Havoc namun ia hanya dikeluarkan dalam bentuk cakera digital (DVD) dan ada beberapa filem akan ditayangkan pada tahun hadapan," ujarnya.

Artikel Lain